NEW Zealand menjadi pasukan pertama layak ke final apabila menumpaskan Malaysia 4-1 pada Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah 2012 malam ini.

Kemenangan mudah itu membolehkan New Zealand mengukuhkan kedudukan tangga teratas dengan 12 mata dan akan melengkapkan perlawanan format 'round-robin' dengan menentang Korea Selatan, Sabtu ini.

Malaysia dengan lima mata selepas lima perlawanan menduduki tangga keenam daripada tujuh pasukan bertanding dan akan mengakhiri saingan dengan menentang Argentina pada Sabtu ini.

Pada perlawanan hari ini, New Zealand menampilkan corak permainan mantap dengan mendahului 3-0 pada separuh masa, hasil jaringan Ryan Archibald pada
minit kelima, Shea Mcaleese (minit ke-16) dan Nick Wilson pada minit ke-32.

Malaysia menggandakan asakan sebaik bermula babak kedua dan usaha itu membuahkan hasil apabila Hafifi Hafiz Hanafi menewaskan penjaga gol New Zealand, Kyle Pontifex pada minit ke-41.

Bagaimanapun, jaringan Shane Neal pada minit ke-62 meranapkan impian skuad negara untuk mengutip mata penuh.

Sementara itu, India menamatkan saingan dengan mengalahkan musuh tradisi Pakistan 2-1.

India mengumpul sembilan mata daripada tiga kemenangan dan tiga kalah manakala Pakistan tercorot dengan tiga mata sebelum menentang Britain, Sabtu ini.

Dalam pada itu, Britain dan Korea Selatan seri 1-1.

Korea Selatan membuka tirai jaringan menerusi Yoon Sung Hoon pada minit ke-22 manakala Jonty Clarke menyamakan kedudukan pada minit ke-50.