TAMPIN - Hanya kerana salah faham, seorang pembantu makmal sekolah di Gemencheh, parah dikelar di lehernya, oleh anak saudaranya.
Kejadian berlaku di dalam kereta mangsa, berhampiran Pasar Besar Gemencheh, di sini, petang kelmarin.
Difahamkan, sebelum kejadian, suspek seorang wanita yang berperwatakan lelaki (tomboi) berusia 26 tahun, datang ke tempat kerja mangsa untuk menyelesaikan salah faham tetapi mangsa meminta suspek menunggu sehingga tamat waktu bekerja.
Ketua Polis Daerah, Superintendan Wooi Kooi Cheang berkata, dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu, suspek dipercayai meninggalkan mangsa di tepi jalan dan melarikan diri menggunakan kenderaan mangsa.
“Orang awam yang melalui lokasi kejadian iaitu di tepi jalan yang hanya kurang 100 meter dari lokasi mangsa bekerja segera membawa mangsa ke Klinik Kesihatan Gemencheh.
“Mangsa parah dikelar menggunakan pisau dan dikejarkan ke Hospital Tampin, sebelum dihantar ke Hospital Tuanku Ja'afar untuk mendapatkan rawatan lanjut," katanya, semalam.
Suspek berjaya ditahan
Kooi Cheang berkata, suspek yang nekad melarikan diri menggunakan kereta mangsa berjaya ditahan semasa bapanya menghantarnya untuk menyerah diri di Balai Polis Tampin, kirakira jam 12 tengah malam, semalam.
Menurutnya, berdasarkan siasatan awal, polis berjaya menemui sebilah pisau yang digunakan suspek untuk mengelar mangsa yang dibuang di sebuah kebun kelapa sawit di Felda Sungai Kelamah, Gemas.
“Suspek kini direman tujuh hari bermula hari ini (semalam) bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.
"Jika sabit kesalahan, suspek boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun," katanya.
Terkejut sepupu sendiri kelar ibu
Sementara itu, anak mangsa, Nurul Aishah Johari, 17, berkata, dia amat terperanjat apabila mengetahui suspek yang mengelar leher ibunya adalah sepupunya.
Pelajar Tingkatan Lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Mohd Taha itu berkata, dia mengetahui kejadian itu sejurus pulang ke rumah di Kampung Jelawai, kira-kira jam 7 petang, kelmarin.
“Sebaik pulang dari rumah kawan, saya dapati rumah gelap dan tiada orang. Kebiasaannya ayah, mak dan abang ada di rumah.
“Tidak lama kemudian, seorang jiran memaklumkan mak saya cedera parah dikelar di leher dan dikejarkan ke hospital,” katanya, semalam.
Menurutnya, dia mengenali sepupunya itu sejak tahun lalu dan hubungan mereka sememangnya amat rapat.
"Saya tidak sangka dia akan melakukan tindakan seperti ini kerana kami sekeluarga rapat dengan keluarganya.
“Mungkin ada salah faham antara mak dengannya, menyebabkan berlaku pertengkaran,” katanya. Nurul Aishah berkata, suspek yang juga anak buah ibunya jarang datang ke rumahnya.
“Sebelum ini dia berhijrah ke bandar dan pernah bekerja di Singapura.
Kali terakhir kami jumpa adalah tiga bulan lalu,” katanya.
Ibu suspek mohon maaf
Ibu suspek yang enggan dikenali ketika ditemui di pekarangan Hospital Tuanku Ja’afar berkata, dia sekeluarga datang ke hospital untuk melawat dan memohon maaf kepada mangsa atas tindakan anaknya itu.
“Hubungan kami dengan keluarga mangsa memang tiada masalah. Saya tidak tahu kenapa anak saya tergamak melakukan semua ini.
"Mungkin ada masalah antaranya dengan makciknya tetapi saya tidak tahu apa masalah mereka. Saya berharap keluarga mangsa dapat memaafkan anak saya,” katanya.
Wednesday, 13 June 2012
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment