Pages

Labels

Powered by Blogger.

Thursday, 14 June 2012

BAHANA ZINA !!!!


ZINA MENULAR

Daripada Anas bin Malik RA. katanya; Sabda Rasulullah SAW:
“Sesungguhnya antara tanda-tanda kiamat itu ialah; diangkat ilmu (agama), tersebar kejahilan (terhadap agama), arak diminum (secara berleluasa), dan zahirnya zina (secara terang-terangan)”. (Riwayat al-Bukhari no. 78 dan Muslim no. 4824)

Huraian Hadith:
1. Antara tanda-tanda kiamat ialah ramai orang yang jahil terhadap agama, serta arak dan zina bermaharajalela. Dalam hadith lain, dengan isnad yang sahih, ditambah; amalan riba. Nabi SAW bersabda:
“Di ambang kiamat nanti, akan zahir zina, riba dan juga arak”. Zina, arak dan riba adalah 3 unsur kejahatan yang berlaku kerana sifat jahil. Tidak semestinya bermaksud mereka jahil tentang hukum haramnya, kerana ramai yang tahu akan keharamannya namun masih tetap melakukannya. Sifat jahil tersebut dapat dimaksudkan sebagai jahil terhadap Allah SWT kerana jauhnya diri mereka daripada-Nya serta kerasnya hati mereka, hinggakan tanpa rasa takut melakukan apa yang dilarang oleh Allah SWT dan meninggalkan apa yang disuruh oleh-Nya”.
2. Perbuatan zina adalah satu dosa besar yang wajib dijauhi. Bahkan wajib dijauhi faktor-faktor yang dapat mendorong kepadanya. Orang yang berzina menunjukkan tahap imannya yang begitu rendah sekali. Kualiti imannya dapat digoyah dengan sekali rangsangan nafsu sahaja disebabkan tiada usaha dan kesungguhan untuk memelihara dan menjaganya.
Dari Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda:
“Tidak akan berzina seorang yang berzina ketika dia berzina padahal dia seorang mukmin, dan tidak akan mencuri ketika dia mencuri padahal dia seorang mukmin, dan tidak akan meminum arak ketika dia meminumnya padahal dia seorang mukmin.” (Riwayat al-Bukhari no. 2475, 5578, 6772, 6810, dan Muslim no. 57)
3. Zina adalah satu perbuatan yang sangat keji. Al-Quran menggambarkan zina itu dengan gambaran yang cukup buruk dan mampu memberi kesan yang amat negatif. Firman Allah SWT:
“Dan janganlah kamu mendekati zina, sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji dan suatu jalan yang buruk.” (al-Isra’: 32)
4. Zina juga dapat menarik bala bencana dan malapetaka, sabda Nabi SAW:
“Apabila zahir/nyata zina dan riba dalam sesebuah tempat, maka penduduk tempat itu telah menghalalkan untuk diri mereka azab dan siksa Allah”. (Riwayat al-Hakim, dan katanya; sahih isnadnya)
5. Anak Zina:
Daripada Maimunah RA berkata, Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda :
“Umatku akan terus berada dalam kebaikan selama tidak tersebar luas anak zina di kalangan mereka. Apabila anak zina tersebar luas di kalangan mereka, maka hampir sahaja Allah ‘Azza wajalla akan menurunkan azab siksa kepada mereka seluruhnya.” (Riwayat Ahmad, kata al-Munziri – 3/265: isnadnya hasan)
Pada tahun 2008, dilaporkan ada lebih 250,000 sijil kelahiran tanpa nama bapa. Menurut sumber berita, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sudah mengeluarkan 257,411 sijil kelahiran yang didaftarkan tanpa dicatatkan nama bapa dari 2000 hingga Julai 2008. Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar, berkata pendaftar tidak boleh mencatatkan nama bapa dalam sijil kelahiran bagi anak-anak tidak sah taraf iaitu anak-anak luar nikah, kecuali atas permintaan bersama ibu dan orang yang mengaku dirinya sebagai bapa, selaras dengan peruntukan Seksyen 13 Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 atau Akta 299. (BH, 29/10/08).
Jika kita bahagikan, maka dalam setahun kira-kira 28,000 lebih kes berlaku, atau 78 kes dalam sehari! Ini adalah hasil perzinaan yang menyebabkan kehamilan. Bagaimana pula agaknya, jika dibayangkan dengan aktiviti zina yang tidak menyebabkan kehamilan? Berapa ramai agaknya jika kita andaikan, sekadar andaian sahaja, jika 1 kehamilan tersebut adalah nisbah bagi hasil daripada 10 perzinaan? Tentu jumlah yang terhasil adalah lebih besar, iaitu kira-kira 780 kes zina dalam sehari, atau lebih 280,000 kes zina dalam setahun, atau lebih 2.5 juta kes zina antara 2000-2008!!!
6. Maka, benarlah sabdaan Nabi SAW bahawa tanda hampirnya kiamat ialah banyaknya berlaku perzinaan. Itu adalah kes-kes zina yang asalnya dilakukan secara tersembunyi, namun di akhir zaman nanti perzinaan tidak lagi dilakukan secara tersembunyi tetapi secara terang-terangan. Daripada ‘Abdullah bin ‘Amru bin al-‘As RA, sabda Nabi SAW:
“Tidak akan berlaku kiamat itu sehingga orang berzina di jalanan sebagaimana keldai. Aku bertanya, Sesungguhnya itu akan terjadi? Jawab baginda: Ya, nescaya akan terjadi”.(Riwayat Ibn Hibban, al-Bazzar dan al-Tabarani, hadith sahih)
Jika ramainya penzina dan anak zina, maka munasabahlah dengan perkhabaran Nabi SAW, bahawa apabila kiamat dibangkitkan hanya ke atas orang-orang keji dan tidak mengenal Allah SWT.
7. Remaja dan Gejala Zina:
Gejala zina di kalangan remaja hari ini sebenarnya berada di dalam tahap yang sangat membimbangkan. Ada remaja yang masih dibangku sekolah lagi mengaku telah beberapa kali mengadakan hubungan seks bebas (berzina) dengan teman perempuan. Bagaimana agaknya dengan yang tidak mengaku? Ada kes mengandung luar nikah semuda usia 9 tahun dan lelaki yang bertanggungjawab hanyalah seorang budak lelaki berusia 12 tahun. Jangan terkejut hari ini kalau anda menemui sekolah yang 40% pelajarnya adalah anak zina!
Antara faktor-faktor penyebab kepada gejala ini ialah gaya hidup yang begitu jauh dengan gaya hidup sihat sebagai seorang muslim sejati. Kebanyakannya bermula dan berpunca daripada gaya hidup institusi keluarga itu sendiri. Begitu ramai remaja/pelajar yang terlibat dengan kegiatan sosial yang tidak bermoral, sama ada terlibat dengan lumba haram, pergaulan bebas, hiburan melampau, rokok, dadah, gam, ecstacy, ice, arak dan sebagainya. Situasi sosial dan hidup moden dalam masyarakat kita pada hari ini juga sebenarnya memarakkan lagi gejala zina, di mana berleluasanya budaya wanita yang mendedah aurat, berpakaian menjolok mata, penyebaran majalah-majalah yang mengghairahkan, video-video lucah, filem-filem berbentuk seksual, bahan-bahan seks yang penuh di dalam internet serta lain-lain media.
Gaya hidup moden sekarang banyak mendedahkan remaja kepada fenomena ini yang mendorong kepada hidup bebas, berpacaran dan pergaulan tanpa batas. Ini ditambah dengan faktor rangsangan nafsu syahwat, hasutan syaitan, dan dorongan budaya Barat yang buruk. Amalan hidup mereka ini dapat membawa kepada kerosakan dan kemusnahan diri mereka, baik di dunia mahupun di akhirat. Justeru, remaja perlu disedarkan tentang akibat buruk dan bahaya yang akan berlaku hasil tingkahlaku dan perbuatan mereka ini.
8. Antara Cara Mengatasi:
Selain kita wajib menjauhi aspek-aspek negatif yang disebutkan, kita perlu kembali kepada cara asas yang ditunjukkan oleh Nabi SAW. Iaitu;
i. Menundukkan pandangan, baik lelaki mahupun perempuan. Dalam erti kata khusus, menjaga pandangan mata daripada bercampur dengan unsur-unsur seksual. Daripada Jarir bin ’Abdillah al-Bajali RA, berkata:
“Aku bertanya kepada Nabi SAW tentang memandang perempuan dengan pandangan secara tiba-tiba, maka baginda memerintahkanku untuk memalingkan pandanganku.” Dalam riwayat lain beliau bersabda: “Tundukkan pandanganmu.” (Riwayat Muslim)
Daripada ’Abdullah bin Buraidah, dari ayahnya berkata, Rasulullah SAW bersabda kepada ’Ali bin Abi Talib RA:
“Hai ‘Ali, janganlah engkau ikuti satu pandangan dengan pandangan lainnya. Sesungguhnya bagimu hanya pandangan yang pertama dan tidak bagi pandangan yang selanjutnya.” (Riwayat Abu Dawud)
ii. Menjauhi pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan. Ini kerana pergaulan itu perlu bersandar kepada batasan-batasan syarak. Daripada Ibnu ’Umar RA, Rasulullah SAW bersabda:
“Tidaklah seorang lelaki yang berdua-duaan dengan seorang wanita, kecuali yang ketiganya adalah syaitan.” (Riwayat al-Tirmizi)
iii. Menekankan tanggungjawab kaum lelaki dalam membimbing kaum wanita agar mengikuti kehendak syarak, seperti tanggungjawab bapa terhadap anak perempuan, dan tanggungjawab suami terhadap isteri dan sebagainya. Daripada Usamah bin Zaid RA, Rasulullah SAW bersabda:
“Tidaklah aku tinggalkan fitnah di tengah-tengah manusia sepeninggalanku yang lebih berbahaya daripada fitnah wanita.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Semoga kita dan zuriat kita dipelihara dan dijauhkan oleh Allah SWT daripada perbuatan keji dan maksiat ini. Wahai para pelajarku, janganlah kalian mendekati zina walaupun unsur-unsurnya yang kecil sekalipun, dan jauhilah perbuatan dosa dan maksiat.

0 comments:

Post a Comment