PETALING JAYA - Mahkamah Majistret di sini hari ini menetapkan 25 Jun
ini untuk keputusan kes pelakon komedi Mohd Saifulazam Mohamed Yusoff,
atau lebih dikenali sebagai Saiful Apek, dan tiga rakannya berhubung
tuduhan memasukkan dadah jenis kanabis ke dalam badan mereka.
Majistret Ahmad Solihin Abd Wahid menetapkan tarikh itu selepas
mendengar hujah Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Ishrakh Saad dan peguam
Mohd Fadli Hashim yang mewakili kesemua tertuduh.
Pada 1 Nov tahun lepas, Saiful Apek, 42, Shah Zainatull Ehsan Al-Muazam
Shah Yahya, 28, Shaiful Baharom, 24, dan Noremy Mohamad, 28, mengaku
tidak bersalah atas tuduhan itu.
Dalam hujahnya, Ahmad Ishrakh berkata berdasarkan keseluruhan
keterangan saksi-saksi, pihaknya berjaya membuktikan bahawa kesemua
tertuduh telah menggunakan dadah berbahaya kerana mereka disahkan
positif kanabis menerusihasil ujian pengesahan dadah yang dibuat
terhadap sampel air kencing masing-masing.
Beliau berkata biarpun terdapat kesilapan penandaan tarikh pemungutan
sampel pada label botol Saiful Apek dan Noremy, penjelasan sewajarnya
telah diberi saksi pendakwaan kedua Sarjan M. Sanggar yang mengakui
silap menulis tarikh pada botol berkenaan iaitu 12.9.2010 berbanding
tarikh sebenar 12.6.10, yang mana kesilapan itu disedari saksi tersebut
ketika memberi keterangan di mahkamah.
"Namun, kesilapan ini tidak langsung menjejaskan identiti eksibit
kerana masih terdapat nama dan nombor kad pengenalan kedua-dua tertuduh
pada label tersebut.
"Selain itu, keterangan saksi kelapan pendakwaan Inspektor Syed Mohd
Rahayat Syed Mohd Ramli menguatkan lagi fakta bahawa kesilapan itu tidak
disengajakan kerana mana-mana tertuduh dalam kes ini tidak pernah
diambil urin atau ditahan pada 12.9.2010," kata Ahmad Ishrakh.
Beliau berkata pihaknya juga yakin identiti sampel air kencing
keempat-empat tertuduh tidak terjejas kerana terdapat ciri-ciri unik
dalam turutan nombor siri pada kesemua sampel tersebut.
Sementara itu, Mohd Fadli dalam hujahnya merujuk kepada percanggahan
tarikh pada botol air kencing dua anak guamnya iaitu Saiful Apek dan
Noremy.
Selain itu, beliau berkata tempoh penghantaran sampel air kencing
kesemua anak guamnya ke Jabatan Patologi, Hospital Tengku Ampuan
Rahimah, Klang untuk pengesahan juga mengambil masa lama.
"Tarikh ujian air kencing diambil daripada kesemua anak guam saya ialah
pada 12 Jun 2010 namun pada 18 Jun 2010 baru pegawai penyiasat
menghantar sampel kesemua mereka ke Jabatan Patologi untuk tindakan
lanjut, tempoh itu adalah terlalu lama," katanya.
Kesalahan itu dilakukan di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik,
di IPD Subang Jaya, Jalan LP 2A/1, Taman Putra Permai, Seri Kembangan di
sini pada 11 malam, 12 Jun 2010 dan didakwa mengikut Seksyen 15(1)
Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman maksimum penjara dua
tahun atau denda RM5,000 jika sabit kesalahan.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment