Pages

Labels

Powered by Blogger.

Wednesday, 13 June 2012

MENTERI PUJI PASUKAN BOLA SEPAK NEGARA

KUALA LUMPUR - Pasukan Harimau Malaya telah menunjukkan peningkatan dari semua segi ketika menentang Singapura semalam, kata Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.
   
Beliau berkata pasukan negara turut mempamerkan corak permainan lebih baik berbanding ketika menentang Filipina pada 1 Jun lepas.
   
"Tahniah kepada pasukan bola sepak di bawah jurulatih Datuk K.Rajagobal. Beliau merupakan contoh jurulatih yang mengetahui tentang latar belakang dan masalah yang dihadapi oleh pemain, bukan seorang, tetapi 25 orang di bawah jagaan beliau," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
   
Terdahulu, Ahmad Shabery menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Majlis Sukan Negara (MSN) dan syarikat pengeluar perabot 3V Holdings Sdn Bhd mengenai penajaan hadiah kemenangan pingat emas Olimpik.
   
Ketua Pengarah MSN Datuk Seri Zolkples Embong menandatangani MoU itu bagi pihak majlis manakala pengurus pemasaran 3V Holdings Chin Song menandatangani bagi pihak syarikat berkenaan.
 
Malaysia meraih kemenangan 2-0 ke atas Singapura pada perlawanan persahabatan di Stadium Shah Alam malam tadi, selepas seri 2-2 pada pusingan pertama dengan pasukan 'The Lions' itu Jumaat lepas.
   
Malaysia dijadual mengadakan perlawanan persahabatan menentang pasukan Liga Perdana Inggeris Arsenal pada 24 Julai ini.    

Siri perlawanan persahabatan itu merupakan sebahagian daripada persediaan skuad itu bagi menghadapi Piala AFF Suzuki Disember ini.

0 comments:

Post a Comment