IPOH - Seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 bulan terbunuh setelah
tercampak dari kereta yang dinaiki selepas terbabit dalam kemalangan di
km203.8 Lebuhraya Utara-Selatan dekat Kamunting awal hari ini.
Ketua Polis Daerah Taiping ACP Yusof Mohd Diah berkata kejadian berlaku
pada 3.20 pagi ketika kanak-kanak itu, Mohamad Fiffy Furqan Mohd Fahmi,
yang berasal dari Jitra, Kedah, menaiki kereta bersama keluarganya
dalam perjalanan pulang dari Kuala Lumpur.
Setibanya di tempat kejadian, kereta jenis Proton Gen-2 yang dipandu
bapanya, Mohd Fahmi Salleh, 34, dikatakan terbabas ketika cuba mengelak
satu objek di atas jalan raya lalu merempuh penghadang jalan, katanya
ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata pada masa yang sama, sebuah kereta jenis Perodua Viva
yang mengekorinya merempuh belakang kereta yang dinaiki Mohamad Fiffy,
menyebabkan mangsa yang diriba ibunya Norasmah Ngah Seri, 32, terlepas
daripada pegangan lalu tercampak keluar dari tingkap kereta yang terbuka
dan terjatuh di atas jalan.
Akibat kejadian itu, kanak-kanak itu mengalami cedera parah di kepala
dan meninggal dunia di tempat kejadian. Mayatnya dihantar ke Hospital
Taiping untuk bedah siasat.
Yusof berkata ibu bapa mangsa dan dua kakaknya masing-masing berusia
lima dan tujuh tahun hanya cedera ringan, manakala pemandu dan tiga
penumpang kereta Perodua Viva turut mengalami cedera ringan. Mereka
dirawat sebagai pesakit luar di hospital yang sama.
Pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat turut dikejarkan ke tempat
kejadian untuk mengeluarkan kesemua mangsa yang tersepit, katanya.
Friday, 8 June 2012
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment