Pages

Labels

Powered by Blogger.

Sunday, 10 June 2012

PTPTN IBARAT UGUT PELAJAR?


SHAH ALAM - Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Muhamad Safwan Anang mendakwa keputusan menarik balik pembekuan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) membabitkan penuntut Universiti Selangor (Unisel) dan Kolej Universiti Islam Antarabangsa (Kuis) seolah-olah mempersendakan dan mahu mengugut mahasiswa.

"Tindakan membekukan pinjaman PTPTN kemudian menarik semula keputusan tersebut dilihat sebagai sesuatu yang tidak wajar," kata beliau ketika dihubungi Sinar Harian Online semalam.

Tambah beliau, tindakan yang dilakukan PTPTN jelas menunjukkan yang mereka menyebelahi Umno dengan menggunakan taktik itu untuk menakutkan para pelajar supaya tidak terpedaya dengan idealisme Pakatan Rakyat (PR).

"Saya merayu agar kerajaan tidak memperjudikan nasib kami sebagai pelajar. Isu ini seolah-olah meletakkan masa depan kami sebagai mainan politik Umno," katanya.

Kelmarin, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, tindakan PTPTN hanya sekadar ingin menguji sama ada Kerajaan Negeri Selangor serius dalam menyediakan pendidikan percuma.

Sebelum ini, PR berjanji akan memansuhkan PTPTN dan menggantikan dengan pendidikan percuma jika diberi manfat dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Safwan juga berkata, Umno sanggup menggadaikan masa depan mahasiswa dalam kepentingan politik mereka.

"Saya mengecam tindakan PTPTN yang tidak matang ini dan menolak sekeras-kerasnya permainan politik kotor ini yang menjadikan mahasiswa sebagai mangsa," tambahnya.

Kelmarin, PTPTN mengesahkan pembekuan kemudahan pinjaman agensi itu kepada penuntut Unisel ditarik atas alasan kurang kemampuan kerajaan Negeri Selangor untuk menyediakan pendidikan percuma.

Pengerusi PTPTN, Datuk Ismail Mohamed Said berkata, kemudahan PTPTN yang disekat terhadap Unisel telah ditarik balik ekoran ketidakmampuan Kerajaan Negeri Selangor untuk memberi pendidikan percuma di negeri yang ditadbir PR.

"Rakyat kini mampu menilai. Jangan jadikan kami (mahasiswa) sebagai mangsa.
"Jika PKR mampu menyediakan pendidikan secara percuma, mengapa tidak kerajaan juga menyediakan kemudahan yang sama?" kata Safwan yang mengetuai demonstrasi menuntut pemansuhan PTPTN di ibu negara April lalu.

0 comments:

Post a Comment