SETIU - Hasrat tujuh sekeluarga dari Permatang Pauh, Pulau Pinang untuk
melawat Terengganu sempena cuti sekolah berakhir dengan tragedi, apabila
tiga daripada mereka maut manakala empat lagi cedera dalam kemalangan,
di sini petang semalam.
Mereka yang maut ialah Abdul Razak Othman, 49, anaknya Siti Suraya, 14
dan kakak Abdul Razak, Fathilah Othman, 53, manakala yang cedera
isterinya Siti Fauziah Mohamad Amin, 46, dua anak mereka Siti Raihana,
12 dan Mohamad Adam, 16, serta seorang lagi kakak Abdul Razak, Rosidah,
55.
Kesemua yang cedera kini dirawat di Hospital Setiu.
Ketua Polis Daerah Setiu Rohaizat Abd Ani ketika dihubungi mengesahkan
kejadian yang berlaku di KM 62 Jalan Kuala Terengganu-Kota Baharu itu.
Kemalangan berlaku jam 5 petang ketika hujan lebat, apabila kenderaan
pelbagai guna (MPV) Toyota Avanza yang dipandu Abdul Razak bergesel
dengan sebuah Toyota Hilux yang dipandu seorang lelaki berusia 37 tahun.
Toyota Hilux itu dipercayai memasuki laluan bertentangan ketika melalui
kawasan selekoh tersebut dan bergesel dengan Toyota Avanza menyebabkan
MPV berkenaan hilang kawalan dan berpusing beberapa kali.
Kejadian mengakibatkan Siti Suraya dan ibu saudaranya Fathilah
tercampak keluar daripada MPV. Kedua-dua mereka disahkan meninggal dunia
di tempat kejadian.
Abdul Razak yang parah di kepala disahkan meninggal dunia di Hospital
Setiu ketika menerima rawatan, manakala isterinya dilapor berada dalam
keadaan koma.
Rohaizat berkata pemandu Toyota Hilux yang menghilangkan diri dari
tempat kejadian telah menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah pukul 10
malam tadi.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Saturday, 9 June 2012
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment