KUALA LUMPUR - Dua remaja maut, manakala dua lagi cedera parah selepas
terlibat dalam kemalangan di Jalan Ipoh, menghala ke pusat bandar, awal
pagi semalam.
Tiga motosikal yang ditunggangi empat remaja dipercayai mat rempit itu
hilang kawalan dan terbabas, lalu merempuh sebuah lori dan van yang
sedang berhenti untuk pemeriksaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) pada
jam 3.32 pagi.
Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur, Deputi
Supritendan Abdullah Roning berkata, penunggang motosikal, Muhammad
Shafuan Ismail, 16, maut di tempat kejadian setelah terperosok ke bawah
lori tiga tan yang membawa muatan ikan.
"Seorang lagi penunggang yang maut dikenali sebagai Muhammad Hafiz Naim
Mohamad Termizi, 15, setelah motosikalnya bergesel dengan sebuah van
yang datang dari arah sama," katanya.
Menurutnya, dua lagi rakan mereka iaitu penunggang motosikal, Muhammad
Syukor Aman Rashid Nizam, 16, dan pemboncengnya, Muhammad Haziq Lukman
18, mengalami kecederaan parah dan dihantar ke Hospital Selayang untuk
rawatan lanjut.
"Ketika kejadian, kesemua mangsa menunggang motosikal dengan laju dan
tidak sempat memberhentikan kenderaan sebelum merempuh sebuah lori dan
van tersebut," katanya.
Menurutnya, pemeriksaan mendapati kesemua mangsa tidak memiliki lesen
motosikal. Mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk
bedah siasat.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian tersebut boleh
menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Harun Omar di talian
019-3731710 atau Balai Trafik Kuala Lumpur 03-20719999.
Wednesday, 6 June 2012
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment