Apabila orang heboh bercakap pasal nombor plet WWW1, saya teringat
semasa zaman sekolah dahulu, saya pernah beranganmahu pakai nombor plet
MAT1. Hakikatnya, apabila sampai masa, saya tidak mampu untuk bayar
hingga beribu- ribu untuk dapatkan nombor itu. Saya bukan siapa-siapa
yang miliki wang sebanyak itu. Juga bukan menteri untuk dapat nombor itu
secara percuma.
Walaupun MAT1 bukanlah secantik nombor WWW1, namun untuk
mendapatkannya, saya percaya saya tetap kena bayar harga yang memang
saya tidak mampu. Akhirnya nombor itu terlepas daripada buntut kereta
buruk saya. Sama juga seperti nombor BAB1 yang walaupun tidak enak
bunyinya, pasti mahal juga jika dibida.
Sekarang saya hanya mampu berdoa siang malam moga saya sendiri akan
punya cukup wang untuk membida nombor plat MMY1 apabila sampai masanya
kelak. Bercakap pasal nombor plet, saya teringat akan kisah seorang
jutawan kosmetik yang mengahwini seorang gadis berusia 19 tahun, empat
tahun lalu dengan hantaran tunai RM20,000, sebuah kereta Mercedes model
CLS350 bernilai RM1 juta dengan nombor plet satu angka.
Walaupun sudah berlalu empat tahun, saya masih mahu berkata "WOWWW!"
setiap kali teringat perkara itu. Tidak mengapalah, rezeki kita
masing-masing. Itulah sahaja cara mahu pujuk hati dalam keadaan kita
sendiri tidak mampu.
Apa lagi yang boleh dikatakan selain itu? Sebut pasal hantaran barubaru
ini entah dari mana keluar angka yang dikatakan nilai hantaran mengikut
kelulusan seseorang gadis di negara kita. Lagi sekali "WOWWW!" Mengikut
apa yang dikatakan hantaran minimum itu, bagi yang berkelulusan
setakat UPSR, PMR dan SRP, nilainya antara RM1,000 hingga RM3,000. SPM
(RM3,000), STPM/diploma RM8,000 hingga RM12,000, ijazah pertama,
RM12,000 hingga RM15,000 manakala sarjana, RM15,000 hingga RM20,000.
Bagi pemegang doktor falsafah pula, RM20,000 hingga RM30,000. Walaupun
angka yang disebar dalam Internet ini mungkin dibikin secara suka-suka
namun saya percaya ia diguna pakai oleh sesetengah ibu bapa untuk
meletakkan hantaran anak gadis mereka. Iyalah, itu hak masing-masing.
Namun secara jujurnya, apabila soal kelulusan yang dijadikan asas, saya
khuatir peranan isteri dalam perkahwinan juga akan turut berubah. Baik
di pihak suami mahupun isteri, mereka masing-masing mungkin anggap
peranan isteri bukan lagi sebagai pengurus rumah tangga sebaliknya sama
seperti suami, sebagai penjana ekonomi.
Dalam keadaan itu, dari segi persepsi, masing-masing mungkin akan
berasa sama taraf, keegoan isteri akan meningkat dan penghormatan kepada
suami jadi lebih rendah daripada sepatutnya. Isteri turut anggap
dirinya mempunyai kuasa tawar menawar yang tinggi dalam membuat
keputusan dan akan cenderung untuk membantah suami. Maklumlah
berkelulusan tinggi.
Selain itu, alasan sibuk dengan urusan kerjaya untuk mengurangkan
perhatian terhadap suami dan rumah tangga hampir pasti akan berlaku.
Banyak lagi mahu disebut sebenarnya namun cukuplah jika saya kemukakan
hanya satu soalan: Bagaimana jika seseorang isteri yang berkelulusan Ph D
misalnya, tidak tahu masak? Bolehkah dikurangkan hantaran itu sehingga
20 atau 30 peratus?
Bagi lelaki konservatif seperti saya, isu masak memasak bagi seseorang
wanita adalah sangat penting. Ya, dengan wang yang berkepuk, tidak jadi
masalah untuk nak turun restoran mewah setiap hari namun harus diingat,
air tangan isteri adalah pengikat kasih sayang suami.
Begitu juga dengan wang yang banyak tentunya mampu menggaji tiga empat
bibik sekali pun namun suami mana yang tahan jika setiap hari hanya
dihidangkan bakso, bergedel dan tempe dan makan hanya bertemankan bibik
sedang isteri yang berkelulusan tinggi itu pula sibuk bermesyuarat di
sana sini?
Lainlah jika si bibik secantik Rossa, isteri mesyuarat sebulan terus
pun tidak mengapa. Tidak! Saya bukan mahu mengatakan wanita di negara
ini tidak boleh berkelulusan tinggi. Namun janganlah sampai
dikesampingkan hukum agama dan budaya bangsa kita dengan menjadikan
kelulusan sebagai ukuran hantaran.
Jangan sampai ada yang suami yang 'berdendam' kerana terpaksa
berbelanja besar untuk kahwin hingga kemudiannya jadi terlalu 'berkira'
atau mengatur misi untuk 'mencukur' isteri habishabisan setelah berumah
tangga. Ini bukan mustahil jika ada yang sampai terlibat dengan hutang
piutang. Apa yang penting ialah tanggung jawab asasi masing-masing
diutamakan.
Suami dengan peranannya terutama dalam bab nafkah meskipun isteri
bergaji besar. Dan isteri pula dengan tanggung jawabnya untuk jaga makan
minum suami dengan sebaiknya meskipun dari segi kewangan, mereka mampu
atur tangga restoran mewah siang malam.
Dengan itu, rumah tangga akan lebih berkat dan diberi rahmat dengan
kebahagiaan yang hanya boleh dirasai meskipun tidak kelihatan.
Saturday, 9 June 2012
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment