KAPTEN Manchester City, Vincent Kompany menyifatkan
kunjungan julung kali Kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) itu ke Malaysia
30 Julai nanti bukanlah sekadar pelengkap jadual promosi mereka di Asia
Tenggara.
Menganggap perlawanan persahabatan dengan Harimau Malaya di Stadium
Nasional, Bukit Jalil nanti sebagai satu daripada latihan persediaan pra
musim mereka dalam misi mengekalkan kejuaraan EPL yang dimenangi buat
kali pertama sejak 44 tahun lalu, Kompany berjanji akan mempamerkan aksi
terbaik peminat pasukan Sky Blues itu.
“Sejak mula tiba di sini (Malaysia) saya dapat merasakan keghairahan
ketara terhadap Liga Perdana (Inggeris) dan menjadikan saya teruja untuk
meyakinkan rakan sepasukan yang lain supaya turun dan merasai
pengalaman menemui peminat di sini," katanya ketika ditemui di Wisma
Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) semalam.
Pada masa sama, ketika ditanya diminta untuk memberi pandangan mengenai
prestasi Harimau Malaya, Kompany enggan memberikan sebarang komen
sebaliknya yakin pertemuan Sky Blues dengan skuad Harimau Malaya nanti
mampu memberi satu pengalaman serta pendedahan berguna buat skuad
kebangsaan dalam perkembangan sukan bola sepak negara.
"Tidak banyak yang saya tahu mengenai mereka (skuad Harimau Malaya).
Segala persoalan hanya akan boleh dijawab selepas perlawanan selesai,"
katanya.
Sementara itu, Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad berkata,
kehadiran pasukan Sky Blues ke negara ini adalah pengiktirafan kerana
Malaysia menjadi satu-satunya negara di Asia Tenggara yang akan
dikunjungi mereka, sekaligus membuka peluang kepada skuad negara untuk
bermain bersama pasukan bertaraf dunia.
“Saya harap skuad kendalian Datuk K Rajagobal dapat belajar sesuatu
daripada mereka dan memanfaatkannya bagi persiapan Piala AFF Suzuki
nanti," katanya.
Masih lagi mengekalkan harga sama bermula pada RM58, RM68, RM108 dan
tiket terhad VIP, RM388, penganjur perlawanan, ProEvents sudah pun
memulakan jualan tiket pada hari ini di seluruh cawangan Ticketpro dan
melalui web www.ticketpro.com. my.
Friday, 8 June 2012
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment