SEREMBAN - Seorang pemuda nekad mengejar dua peragut yang cuba melarikan
diri selepas merentap seutas rantai daripada seorang wanita dan berjaya
menahan salah seorang suspek dalam kejadian berhampiran sebuah pusat
beli-belah, di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 12.20 tengah hari, Mohd Salehuddin
Nazaruddin, 21, bersama bapa dan bapa saudaranya sedang melakukan kerja
penyelenggaraan kabel Telekom, di Jalan Yamtuan, berhampiran pusat
beli-belah itu.
Katanya tiba-tiba dia terdengar bunyi deruman motosikal yang kuat serta
jeritan wanita, kira-kira 30 meter dari tempat dia melakukan kerja
penyelenggaraan.
"Selepas mendengar wanita terbabit menjerit, tanpa berfikir panjang
saya terus berlari ke arah mereka dan mengejar motosikal itu dan sempat
merentap baju salah seorang suspek menyebabkan kedua-dua mereka terjatuh
dari motosikal.
"Saya cuba pegang kedua-dua suspek sebelum berlaku pergelutan dan salah
seorang daripada mereka berjaya melarikan diri ke arah seorang lagi
rakan mereka yang lain yang menunggu dengan motosikal lain tidak jauh
dari situ," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Katanya suspek yang berjaya dipegangnya pula cuba melarikan diri dan
Mohd Salehuddin berkata dia terus mengejar lelaki itu dan berjaya
menendang kaki suspek berusia lingkungan 20-an itu menyebabkannya
terjatuh.
"Saya memang geram sangat bila dia dapat larikan diri. Jadi, saya pun
terus mengejarnya dengan harapan orang ramai yang melihat kejadian itu
dan membantu menahan suspek.
"Walaupun seorang sahaja suspek berjaya ditahan, tapi saya tetap
berpuas hati kerana dapat membantu menangkap penjenayah, tapi agak
kecewa dengan sikap orang ramai yang hanya menjadi pemerhati," katanya
yang mengalami lebam di tangan akibat kejadian itu.
Wanita berusia 40-an yang menjadi mangsa dalam kejadian itu berjaya
mendapatkan kembali rantainya selepas barang kemas itu terjatuh ketika
pergelutan antara suspek dan Mohd Salehuddin.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban ACP Saiful Azly Kamaruddin ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kes itu.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment