Pages

Labels

Powered by Blogger.

Sunday, 10 June 2012

PRU MUNGKIN CEPAT TAPI BUKAN DALAM WAKTU TERDEKAT

KUALA LUMPUR - Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi bayangan baru - Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) akan diadakan tidak terlalu lama lagi.

Tetapi, beliau menambah - tarikhnya juga tidak terlalu cepat sebagaimana dijangkakan.

Beliau memberi sedikit gambaran, namun tarikh sebenar masih menjadi teka-teki.

Sidang Parlimen akan bermula esok di tengah-tengah spekulasi bahawa PRU13 akan diadakan dalam waktu terdekat.

Ramalan banyak pihak menyebut PRU13 akan diadakan awal Julai. Malah ada yang meramalkan September ini.

Mandat semasa hanya akan berakhir April 2013.

"Saya sedar rakyat Malaysia kini sudah tidak sabar-sabar lagi menghadapi PRU dan bagi Barisan Nasional (BN) bersama parti-parti komponen lain, kita mesti memastikan yang parti berada dalam keadaan bersedia dan kukuh untuk menghadapi pilihan raya," kata beliau berucap merasmikan Konvensyen PPP Wilayah Persekutuan 2012 di sini, hari ini.

Tambah beliau, semua ahli perlu menyahut cabaran ini dan terus berjuang agar kemenangan besar dapat dicapai dalam PRU akan datang.

"Kita sekarang perlu berhadapan cabaran yang besar bagi menghadapi pilihan raya.

"Justeru itu, saya ingin memberi peringatan kepada ahli BN agar tidak berlaku sebarang persengketaan dan sebarang masalah atau isu negatif dalam parti," tegas beliau.

Katanya lagi, masalah yang perlu dihadapi dan diselesaikan oleh BN merupakan isu persepsi di kalangan pengundi kerana rakyat menjadi keliru antara realiti dan persepsi negatif yang ditimbulkan pembangkang.

"Apabila isu persepsi ini timbul, rakyat akan terpinga-pinga dan tertanya-tanya mengenai kesahihan isu yang ditimbulkan pembangkang," kata beliau yang juga Pengerusi BN Wilayah Persekutuan.

Timbalan Presiden Umno ini berkata, pembangkang kini menyerang dan menimbulkan persepsi negatif melalui rangkaian media sosial untuk menyebar fitnah yang tidak berasas.

"Oleh yang demikian, isu persepsi ini mesti diperbetulkan dengan kadar segera," tegas beliau.

Katanya, semua pemimpin tertinggi BN harus sentiasa tahu isu-isu semasa bagi memudahkan mereka memberi penjelasan kepada rakyat supaya tidak timbul isu persepsi ini.

"Selain itu, pemimpin tertinggi juga sentiasa turun padang dan mengambil langkah proaktif untuk memberi penjelasan secara terbuka terus kepada rakyat bagi membetulkan persepsi negatif mereka terhadap kerajaan," tambah beliau.

Untuk itu, jentera penerangan parti di setiap bahagian dan daerah  mesti memberi penjelasan jika timbul sebarang isu dan saling membantu bagi memastikan BN dapat meraih semula kerusi yang dipegang pembangkang kini.

0 comments:

Post a Comment