KEJATUHAN ranking bola sepak negara sejak akhir-akhir ini terus mendapat perhatian. Terbaru, Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang digantung, Tan Sri Annuar Musa tampil sekali lagi bersuara.
Annuar yang merupakan Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) menyifatkan kemerosotan prestasi bola sepak negara berpunca daripada kegagalan badan induk bola sepak kebangsaan itu sendiri menyediakan 'blue print' bagi jangka masa panjang.
“Kalau mahu meningkatkan prestasi bola sepak Negara, kita perlu ada 'blue print' atau pelan induk yang jelas. Perancangan secara hitam putih perlu ada dan diketahui semua pemain, jurulatih, ahli exco mahu pun persatuan bola sepak negeri.
“Kita ambil contoh negara Jepun. Mereka ada perancangan selama 50 tahun yang dinamakan 'Dare To Dream'. Juara bukan dilahirkan tetapi perlu dicipta. Ia tidak berlaku secara kebetulan dan hasilnya kita dapat lihat di mana pasukan mereka hari ini.
“Ketika menjadi Menteri Belia dan Sukan dahulu, saya dan Tan Sri Elyas Omar (bekas Presiden Persatuan Badminton Malaysia) merangka satu program dinamakan Projek Thomas/Uber/Olimpik (TUO) 1992. Kita merancang selama tiga tahun dan hasilnya kita berjaya membawa pulang Piala Thomas dan memenangi pingat Sukan Olimpik pada ketika itu," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Program Gotong-Royong Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bersama pemain bola sepak The Red Warriors dan ATM di Kampung Pak Rahmat, Peringat, Kota Bharu, semalam.
Minggu lalu, ranking bola sepak negara jatuh satu anak tangga daripada 153 kepada 154. Vietnam mendahului bagi pasukan bola sepak di rantau Asean dengan menduduki tangga ke-98, Thailand (136), Filipina (149) sementara Indonesia di tempat ke-151.
Malah ketika mengulas mengenai ranking negara ketika ini, Annuar berkata, ia sesuatu yang tidak menghairankan bagi beliau sekiranya pasukan seperti Filipina dan Singapura berada lebih baik daripada Malaysia ketika ini.
“Saya bukan hendak menuding jari kepada sesiapa. Semuanya berkisar soal sistem. Sistem bola sepak negara perlu diberi perubahan baru. Kita perlu ada satu 'wake up call'. Ketepikan soal sentimen kalau saya tampil bersuara kerana bola sepak milik semua orang.
“Pernah ke jawatankuasa pasukan bola sepak kebangsaan bermesyuarat sehingga hari ini ? Adakah FAM mempunyai pelan induk ? Betul atau tidak ahli exco tahu apa yang sedang berlaku sekarang?
“Janganlah siang malam kita asyik bermimpi Piala AFF Suzuki. Seolah-olah hanya piala itu sahaja dekat bagi kita. Kita masih ada Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Sukan Olimpik, Piala Dunia dan pelbagai perlawanan persahabatan antarabangsa yang lain,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Annuar enggan mengulas lebih lanjut mengenai saman pemula yang difailkan oleh peguamnya terhadap FAM di Mahkamah Tinggi Shah Alam Selasa lalu.
“Saya tidak boleh komen kerana perkara tersebut sudah diserahkan kepada mahkamah. Saya tidak mahu ia menjadi subjudis. Saya serahkan kepada peguam saya untuk mengambil langkah seterusnya mengikut peraturan yang ada,” katanya.
0 comments:
Post a Comment