IPOH - Jurulatih negara, Tai Beng Hai berpuashati dengan prestasi
pasukan negara pada kejohanan hoki Piala Sultan Azlan Shah 2012 di sini
walaupun sekadar menduduki tempat keenam.
Beliau berkata, terdapat peningkatan dari segi permainan dan pemain
negara tidak lagi terburu-buru dalam membuat serangan sebaliknya lebih
bijak mengatur gerakan mengegar kubu lawan.
Dari segi teknik pula, pasukan telah dapat meningkatkan permainan di
mana rata-rata tidak lagi kekok belajar dan menimba ilmu daripada pemain
pasukan lawan yang lebih berpengalaman, katanya.
"Cuma yang menjadi perhatian dalam kejohanan kali ini banyak peluang
gagal dimanfaatkan termasuklah membiarkan pasukan lawan memperoleh gol
mudah.
"Dalam melahirkan sebuah pasukan yang mantap perlu memperbanyakkan
latihan dan perlawanan untuk membolehkan pemain menimba seberapa banyak
ilmu yang boleh," katanya.
Beng Hai berkata, melalui beberapa pertemuan dengan pasukan Asia
seperti Korea, Pakistan dan India membolehkan pasukan negara memahami
rentak dan permainan pasukan lawan.
Jika mengadakan perlawanan di negara Eropah akan melibatkan kos mahal
untuk terbang ke sana dan tidak semua pasukan yang berpengalaman mahu
mengadakan perlawanan latihan dengan skuad negara, katanya.
Mengulas perlawanan menentang Korea hari ini yang tewas 3-2, Beng Hai
berkata, cuaca panas dan keletihan menyebabkan pasukan negara banyak
terlepas peluang mendapatkan bola.
Gol Korea diperoleh melalui Hyun Hye Sung seawal minit pertama, Jang
Jong Hyun (minit ke 42) dan You Hyo Sik ( di minit ke 50) sementara gol
negara hasil jaringan Hafifi Hafiz Hanafi pada minit ke-17 dan Faizal
Saari di minit ke-63.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment