ANALISIS - Dua bulan lalu, Datuk Seri Najib Tun Razak minta maaf atas
kesilapan-kesilapan lalu Barisan Nasional (BN). Langkah itu tidak pernah
diambil oleh mana-mana ketua BN, yang lazimnya bertindak sebagai
perdana menteri.
Semalam, timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU) sebagai penentu hidup atau mati BN.
Mesej Muhyiddin itu ditafsir dari perspektif dan sudut masing-masing.
Ada yang mengatakan BN bimbang, panik dan risau akan masa depannya.
Paling jelas, kenyataan terbuka orang nombor satu dan dua semasa BN itu
membawa mesej yang jelas - BN perlu kekal berkuasa dan mahukan mandat
untuk terus mentadbir negara ini.
Mengulas kenyataan terbaru semalam, penganalisis melahirkan pandangan
yang berbelah bahagi mengenai peluang dan masa depan BN pada PRU13.
Ada yang mengatakan bahawa BN semakin bimbang dengan saingan sengit
daripada Pakatan Rakyat (PR) menjelang PRU13. Ketika PR melaungkan mahu
Melangkah Ke Putrajaya, BN memberi kenyataan-kenyataan sebaliknya.
Mesej itu dilihat dari sudut psikologi.
Menurut penganalisis politik Universiti Utara Malaysia, Mohd Azizuddin
Mohd Sani, kedudukan BN semakin tergugat dengan saingan yang diberikan
oleh komponen PR dan ada kemungkinan akan berhadapan dengan kekalahan.
Beliau juga berkata, kenyataan Muhyiddin, yang juga Timbalan Perdana
Menteri, memberi tanggapan PRU13 akan menentukan nasib antara BN dan PR
dalam mengemudi kerajaan pada masa akan datang.
"Saya melihat BN akan hilang kuasa jika parti komponen tidak bersatu untuk memenangi pilihan raya umum akan datang.
"PR memberi saingan yang sangat sengit untuk merampas kerusi di Wilayah
Persekutuan dengan mengenal pasti calon terbaik untuk diletakkan di
bahagian itu," kata beliau ketika dihubungi lewat semalam.
Azizuddin turut menekankan bahawa BN memerlukan kerjasama antara satu
sama lain termasuklah MIC, MCA dan Gerakan, dan bukan hanya Umno yang
bekerja keras untuk memenangi PRU13.
"Sekarang saya melihat hanya Umno bertungkus-lumus menjalankan kempen
dan giat turun padang untuk meraih sokongan dan undi tapi parti komponen
lain seperti lepas tangan serta sangat lemah dan hampir tidak kelihatan
mengadakan kempen menghadapi PRU kali ini.
"Selain itu, sabotaj antara ahli perikatan BN-Umno sendiri sedang
berlaku dan mereka seharusnya bersatu padu untuk memenangi PRU kali
ini," katanya.
Dalam pada itu, beliau juga menasihatkan agar BN turut memberi
perhatian ke atas Sabah dan Sarawak. Kedua-dua negeri itu menawarkan 56
kerusi Parlimen.
Ini kerana katanya, jika dua negeri itu dimenangi PR bermakna kuasa
pusat akan berada dalam tangan perikatan tidak formal itu - yang
dianggotai Pas, DAP dan PKR.
Dalam temu bual dengan Sinar Harian Online minggu lalu, Setiausaha
Agung Pas, Datuk Mustafa Ali berkata pihaknya kini lebih yakin dan
optimis menghadapi PRU13 bersama PR yang tersusun.
"BN tidak boleh lepas pandang Sabah dan Sarawak yang turut menjadi
negeri jaminan kemenangan bagi mereka, PR juga tidak perlu menang semua
kerusi di sana untuk rampas Putrajaya.
"PR semakin giat untuk mengaut kerusi di dua negeri tersebut untuk
menang dan jika BN tidak mengambil langkah sewajarnya, tidak mustahil BN
akan kalah pada PRU kali ini," kata Azizuddin lagi.
Mengupas isu yang sama, Profesor Dr. Ahmad Atory Hussain berpandangan
bahawa mesej Muhyiddin menunjukkan bahawa BN sedang bekerja keras untuk
memenangi PRU13.
"BN semakin bekerja kuat untuk hadapi pilihan raya ini kerana PRU kali ini tidak semudah dulu.
"Jika BN kalah pada PRU ini, sistem kerajaan juga akan turut berubah di bawah pemerintah baru nanti," kata beliau.
Bagi penganalisis dari Universiti Sains Malaysia, Prof Madya Dr
Sivamurugan Pandian, PRU13 memberi ukuran kepada kemampuan BN untuk
terus kekal berkuasa ataupun sebaliknya.
Bagaimanapun katanya, mesej Muhyiddin itu bukan menunjukkan kebimbangan BN sama sekali.
Sebaliknya kata beliau, "memberi keazaman kepada parti kompenan BN
untuk terus mempertahankan kerusi di peringkat Dewan Undangan Negeri dan
Parlimen."
"BN juga perlu membuat persiapan yang rapi untuk pilihan raya musim ini
untuk mendapat kedudukan yang lebih baik," katanya lagi.
Sebelum ini, Muhyiddin juga pernah menarik perhatian dengan mengatakan
bahawa PRU13 merupakan ibu kepada segala pilihan raya yang diadakan di
negara ini.
Ketika ada yang mengatakan BN semakin panik, peluang untuk perikatan
yang memerintah negara ini sejak merdeka masih belum berakhir. Kerisauan
dan kebimbangan ada pada semua parti yang bertanding - BN dan juga PR
di mana satu perikatan mahu kekalkan kuasa manakala yang satu lagi mahu
menggantikannya.
Itu matlamat mereka. Jika tidak apa gunanya bertanding dana arena politik bernama PRU.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment