Pages

Labels

Powered by Blogger.

Thursday 7 June 2012

SUKMA:WILAYAH PERSEKUTUAN IMPI 40 EMAS

PUTRAJAYA - Kontinjen Wilayah Persekutuan mensasarkan 40 pingat emas pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) ke-15 di Pahang yang dijadual dari 7 hingga 16 Julai ini.

Ketua kontinjen Datuk Adnan Md Ikshan berkata pasukan itu yang dibarisi 545 atlet dan 170 pegawai, telah bersedia untuk menghadapi saingan negeri lain terutama juara bertahan Terengganu.

"Pasukan kita telah memulakan persiapan lebih awal iaitu sejak bulan Julai tahun lepas.

"Kita optimis pasukan Wilayah Persekutuan mampu meraih pencapaian terbaik tahun ini, memandangkan banyak sukan yang dipertandingkan kali ini yang memihak pada kita," katanya kepada Bernama selepas majlis penyerahan basikal kepada pasukan berbasikal Wilayah Persekutuan, di sini hari ini.

Katanya antara sukan yang dijangka menghasilkan pingat ialah renang, gimnastik, memanah, karate dan badminton.

Wilayah Persekutuan merangkul tujuh pingat emas, 23 perak dan 31 gangsa serta meraih tempat kelima pada Sukma di Kuala Lumpur tahun lalu.

Pada Sukma di Pahang tahun ini, sebanyak 24 acara sukan akan dipertandingkan yang menawarkan 348 pingat emas.

Sementara itu, Adnan berkata pihaknya membelanjakan hampir RM60,000 untuk membeli lapan buah basikal baru untuk atlet berbasikal mereka.

"Harapan kita dengan basikal baru ini, atlet-atlet akan lebih bersemangat untuk bertanding dan akan membawa pulang pingat bagi kontinjen," katanya.

Pasukan berbasikal Wilayah Persekutuan yang terdiri daripada 12 lelaki dan dua wanita, berumur antara 14 dan 19 tahun, dikendalikan Musairi Musa sebagai pengurus selain dilatih bekas atlet kebangsaan Datuk Ng Joo Ngan.

0 comments:

Post a Comment