Pages

Labels

Powered by Blogger.

Saturday 9 June 2012

EMPAT LEGENDA DI STADIUM MERDEKA

Diam tak diam The Legendary Concert Dulu Kini & Selamanya hampir tiba di penghujungnya pada 30 Jun ini bertempat di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur.

Memulakan sesi jelajah pada 5 Mei lalu di Kota Kinabalu, kemudian bergerak ke Pulau Pinang pada 19 Mei dan lokasi ketiga di Johor Bahru pada 26 Mei, ternyata empat legenda negara, Zainal Abidin, Jamal Abdillah, Datuk Sheila Majid dan Amy Search berjaya dalam misi mereka menghiburkan peminat.

Sememangnya idea menghimpunkan empat legenda berada di atas satu pentas yang sama berjaya mengembalikan nostalgia konsert berbayar di negara ini sekali gus dapat mencapai matlamat mereka.

Malah, setiap lokasi yang dikunjungi mereka menerima sambutan hangat daripada setiap pencinta muzik tanah air.

Gembira melihat sambutan yang diberikan, Zainal Abidin berkata, lokasi terakhir di Stadium Merdeka kali ini pasti akan menjanjikan kelainan buat peminat dan penggemar muzik.

Menurutnya, setiap legenda berhempas pulas untuk memberikan yang terbaik di lokasi terakhir ini dengan menjanjikan hidangan lagu-lagu yang berbeza daripada setiap lokasi yang telah dikunjungi.

“Alhamdulillah kami berjaya mencapai matlamat kami menunjukkan kepada pencinta muzik tanah air beza antara konsert berbayar dan konsert percuma.

“Pastinya lokasi terakhir ini menjanjikan kelainan dengan tempoh masa konsert yang lebih panjang dan juga menampilkan lagu-lagu yang berbeza berbanding lokasi terdahulu.

“Setakat ini, kesemua legenda sudah memberikan tajuk-tajuk lagu kepada saya dan nampaknya konsert yang sepatutnya mengambil masa selama dua jam akan bertambah menjadi dua jam setengah ataupun lebih,” katanya semasa pengumuman penting The Legendary Concert Dulu Kini & Selamanya di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Dalam pada itu, Zainal turut memberitahu berita gembira kepada peminat yang ingin menyaksikan konsert di lokasi terakhir itu.

Menurutnya, sambutan daripada peminat menyebabkan badan korporat, Maybank menawarkan diskaun sebanyak 30 peratus kepada peminat yang ingin membeli tiket konsert tersebut menerusi Maybank2u.

Selain itu, 100 pelanggan pertama yang membeli dua tiket berharga RM300 atau RM600 menerusi Maybank2u juga layak mendapat dua tiket sagu hati percuma bernilai RM300.

“Kami gembira apabila badan korporat terkenal menyokong penuh usaha kami untuk menganjurkan konsert seperti ini. Selain Maybank, kami turut menerima kerjasama daripada syarikat telekomunikasi, DiGi dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Malaysian Nature Society,” katanya sambil memberitahu konsert tersebut juga dibuat untuktujuan amal.

Selain itu, bagi peminat yang membeli tiket berharga RM100,RM200 dan RM300 layak mendapat satu lagi tiket percuma mengikut harga yang mereka beli.

Bagi peminat yang membeli tiket VIP RM600 juga bakal mendapat diskaun sebanyak 15 peratus untuk setiap pembelian.

0 comments:

Post a Comment