Pages

Labels

Powered by Blogger.

Wednesday 13 June 2012

JENTERA PARTI SUDAH SEDIA HADAPI PRU

Pilihan Raya Umum (PRU 13) semakin menghampiri, kini jentera parti sudah bersiap sedia menunggu pembubaran Parlimen pada bila-bila masa, dan di elantan akan berlaku persaingan sengit di mana Umno mensasarkan menawan 24 kerusi sekali gus mengambil alih tampuk pemerintahan negeri, manakala Pas pula mempunyai kekuatan tersendiri dengan mempertaruhkan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat.

Bagi mengetahui perkembangan politik semasa di Parlimen Tanah Merah ikuti wawancara bersama Naib Yang Dipertua (YDP) Pas Kawasan Tanah Merah, Datuk Abdul Fattah Mahmood dan Ketua Umno Bahagian Tanah Merah, Datuk Ikmal Hisham Abd Aziz.


“Calon anak tempatan atau tidak ia bukan masalah besar, yang penting dapat mencapai kemenangan”- Fattah Bagaimana dengan persiapan bagi menghadapi PRU 13?

Fattah: Pas kawasan sudah lama bersiap sedia untuk menghadapi PRU 13, dengan menyusun pelbagai strategi dan menyelesaikan perkara rutin
seperti daftar pemilih.


Adakah Datuk sudah berpuas hati dengan gerak kerja jentera parti termasuk pemimpin di peringkat akar umbi?

Fattah: Kita tidak pernah berhenti bekerja selepas PRU 12 lagi, dari peringkat bawah hingga pimpinan tertinggi, saya sentiasa mengatasi segala kelemahan dan memperkemaskan lagi barisan sedia ada agar semangat untuk berdepan PRU dapat ditingkatkan lagi.


Bagaimana penerimaan rakyat terhadap parti?

Fattah: Kita sedia maklum di Parlimen Tanah Merah, Pas sentiasa diterima baik oleh rakyat dan ini jelas terbukti pada PRU 12 pada 2008, serta sehingga kini mereka masih bersama kita kerana pendekatan yang kita lakukan menepati kehendak mereka.


Harapan Datuk pada pucuk pimpinan parti dalam soal memilih calon?

Fattah: Dalam soal memilih calon kita serahkan 100 peratus kepada pucuk pimpinan tertinggi, kerana keputusan yang mereka berikan adalah terbaik dan demi kebaikan Pas kawasan, soal calon anak tempatan atau tidak ia bukan masalah besar, yang penting calon yang dihantar dapat memberikan kemenangan kepada parti.


Adakah Datuk meletakkan harapan pada rakyat sebagai balasan jika menang PRU 13 kelak?

Fattah: Kita tidak mahu memberikan harapan terlalu tinggi kepada rakyat sebelum PRU 13 sedangkan parti lawan sering mengumpan rakyat dengan kebendaan. Hak kerajaan adalah hak rakyat jadi pemberian selama ni seperti memulangkan hak mereka kembali.


Matlamat pihak lawan untuk tawan 24 kerusi dan tadbir negeri berjaya atau hanya sekadar gimik?

Fattah: Usaha tersebut ternyata sia-sia kerana Pas sudah sebati dengan rakyat, dan mereka juga menerima cara pentadbiran kita selama ini yang fokus pada negara berkebajikan dan berpandukan Islam.

Kita tidak tergugat dengan sebarang gimik dan provokasi Umno seperti Gelombang Merah dan ternyata usaha mereka untuk memerintah Kelantan ternyata tidak akan berhasil.


Harapan pada PRU 13?

Fattah: Saya berharap PRU 13 akan lebih adil dan telus seperti yang disuarakan pada perhimpunan Bersih 3.0 juga negara demokrasi lain. Di kawasan Tanah Merah sendiri kita sentiasa berdepan masalah pengundi hantu.

Kita tidak mahu ia mengganggu kelancaran proses PRU nanti agar matlamat untuk menawan Putrajaya jadi realiti.



"Rakyat kini bijak memilih, mereka mahukan pembangunan setelah 21 tahun berada di takuk lama” – Ikmal Adakah Umno/ BN sudah bersiap sedia menghadapi PRU 13?

Ikmal: Kita di kawasan Tanah Merah sudah bersiap sedia berdepan PRU 13, jika esok tarikh tersebut diumumkan kita tidak menghadapi sebarang masalah.


Adakah Datuk sudah berpuas hati dengan gerak kerja jentera parti empat peringkat?

Ikmal: Hendak kata berpuas hati 100 peratus tidak, kerana masih ada perkara yang perlu diberi tumpuan, tetapi kita yakin jentera kita sudah bersiap sedia dan kini hanya mahu memperkemaskan mana yang lemah.


Penerimaan dan sokongan rakyat di Tanah Merah terhadap Umno/BN itu sendiri?

Ikmal: Kita tidak dapat ramalkan dan terlalu yakin, jawapannya nanti akan dapat diketahui apabila selepas PRU 13, namun menerusi gerak kerja yang mantap Umno kini sentiasa diterima baik, buktinya banyak program dan ceramah mendapat kehadiran yang amat baik contohnya karnival rakyat Tanah Merah yang dihadiri isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor baru- baru ini, di mana hampir 25,000 rakyat hadir beri sokongan.


Harapan Datuk pada pucuk pimpinan parti dalam soal pemilihan calon?

Ikmal: Jika sebagai ahli parti, mereka perlu menyokong segala keputusan pucuk pimpinan kerana pemilihan mereka lebih tepat. Mungkin mereka melihat pada individu yang berkelayakan dan bekerja keras untuk parti.


Adakah matlamat BN mahu menawan 24 kerusi sekali gus memerintah Kelantan sesuatu yang mustahil?

Ikmal: semangat Gelombang Merah semakin diterima ramai, ia merupakan kebangkitan rakyat negeri ini yang mahukan perubahan dan pembangunan. Mereka kini bijak menilai dan memilih, Pas sudah 21 tahun terlalu lama namun, tidak dapat menyelesaikan masalah rakyat terutamanya masalah air. Kita tidak memberikan sebarang harapan yang tinggi kepada rakyat pada PRU 13 nanti, kerana hanya mahu membantu meningkatkan taraf ekonomi rakyat.

Jadi hasrat untuk tawan Kelantan tidak mustahil jika dilihat pada sokongan hari ini.

0 comments:

Post a Comment