Pages

Labels

Powered by Blogger.

Thursday 21 June 2012

RUKUN TETANGGA BUKAN MEDAN LEPAS RASA TAK PUAS HATI

KUALA LUMPUR  - Seorang Anggota Parlimen hari ini mencadangkan agar institusi Rukun Tetangga (RT) tidak dijadikan wadah untuk melahirkan rasa tidak puas hati serta memperbesar-besarkan sesuatu isu yang boleh memecah belah perpaduan dan keharmonian rakyat.
   
Datuk Idris Haron (BN-Tangga Batu) berkata, "Mungkin tidak keterlaluan jika saya katakan hari ini RT di beberapa lokaliti telah menjadi pelantar untuk sesuatu pihak melahirkan rasa tidak puas hati dan sebagainya.
   
"Saya khuatir jika kawalan tidak diperkenalkan secara konsisten dalam unit RT, ia akan memecahbelahkan sistem kehidupan masyarakat setempat," katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan (2012) 2012 peringkat jawatankuasa pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.
   
Idris turut mencadangkan Pegawai Perpaduan dan Integrasi supaya turun padang dan melihat sendiri operasi RT bagi mendapatkan maklumat secara langsung serta situasi sebenar hingga ke akar umbi.
  
Sementara itu, Datuk Lilah Yasin (BN-Jempol) mencadangkan agar kerajaan menyediakan perlindungan insuran kepada sukarelawan RT bagi menjamin kebajikan jika ditimpa sesuatu kejadian yang tidak diingini semasa melakukan rondaan.
   
"Dengan adanya tambahan peruntukan ini, kerajaan boleh menggunakan sebahagian daripadanya untuk melengkapkan kemudahan sukarelawan RT kita yang sanggup berkorban masa dan tenaga untuk menyertai program di daerah masing-masing," katanya.
   
Menyentuh peruntukan untuk Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Lilah berkata peruntukan tambahan ini seharusnya dimanfaatkan SPR bagi menambah baik kualiti perkhidmatan serta memperluaskan skop kerja.
   
"Ini sudah tentu mereka dapat menyediakan satu daftar pemilih yang tepat dan tidak dipertikai oleh mana-mana pihak selepas ini," katanya.

0 comments:

Post a Comment