Pages

Labels

Powered by Blogger.

Wednesday 13 June 2012

Kita menang di tempat sendiri


SKUAD Harimau Malaya akhirnya mempamerkan taring sebenar apabila meleburkan rekod tanpa kalah selama lapan tahun apabila menewaskan Singapura 2-0 pada aksi perlawanan persahabatan di Stadium Shah Alam sebentar tadi.

Harimau Malaya yang beraksi di hadapan 25,000 para penyokong mempamerkan aksi mantap serta beberapa percubaan mereka gagal menembusi sasaran.

Penyerang Negeri Sembilan yang sedang meningkat naik, Ahmad Shakir Ali berjaya memecah kebuntuan dengan menanduk masuk bola hantaran Norshahrul Idlan Talaha pada minit ke-18.

Malaysia dilihat banyak mendominasi babak pertama perlawanan dan melancarkan serangan berbahaya ke gawang Singapura.

Serangan skuad Singapura pula berjaya dipatahkan oleh gandingan pertahanan, Aidil Zafuan dan Amiridzwan Taj Tajudin serta ketangkasan penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat.

Pada aksi babak kedua, Harimau Malaya mempamerkan aksi yang serupa untuk menambah gol.

Jentera tengah yang diketuai Safiq Rahim juga banyak mendominasi berbanding Singapura.
Namun, Malaysia banyak membuat serangan melalui pemain sayap.

Gerakan menarik menerusi pemain sayap, S. Kunalan dan Azamuddin Akil juga berjaya mengucar-kacirkan benteng Singapura.

Kapten pasukan, Safiq Rahim berjaya menambah gol kedua pasukan selepas membuat sepakan percuma cantik menewaskan penjaga gol, Hyrulnizam Juma'at pada minit ke-61.

Selang empat minit kemudian, penyerang sensasi, Safee Sali dibawa masuk untuk menguatkan lagi jentera serangan dengan menggantikan penjaring gol pertama, Shakir Ali.

Pada minit ke-67, insiden kekasaran berlaku, pemain Singapura, Mustafic Fahrudin dilayangkan kad merah selepas mengasari Norshahrul Idlan.

Malaysia mengawal tempo permainan dengan baik sehingga tambahan masa empat minit pada waktu kecederaan dan keputusan kekal sehingga tamat perlawanan.

Pada pertemuan di Stadium Jalan Besar Jumaat lalu, pasukan Harimau Malaya mencatat keputusan seri 2-2, walaupun berjaya mendahului dengan kelebihan dua gol.

Sebelum ini, Malaysia tewas di tangan Singapura menerusi agregat 4-2 pada pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2014 Julai lepas.

Untuk rekod, kali terakhir Malaysia menang ialah pada 12 Julai 2004, ketika itu dikendalikan oleh Allan Harris. Skuad Harimau menang 2-0 pada perlawanan persahabatan.

0 comments:

Post a Comment