Pages

Labels

Powered by Blogger.

Saturday 9 June 2012

HANTARAN PERKAHWINAN GUNA HARGA SYILING?

Apabila orang heboh bercakap pasal nombor plet WWW1, saya teringat semasa zaman sekolah dahulu, saya pernah beranganmahu pakai nombor plet MAT1. Hakikatnya, apabila sampai masa, saya tidak mampu untuk bayar hingga beribu- ribu untuk dapatkan nombor itu. Saya bukan siapa-siapa yang miliki wang sebanyak itu. Juga bukan menteri untuk dapat nombor itu secara percuma.

Walaupun MAT1 bukanlah secantik nombor WWW1, namun untuk mendapatkannya, saya percaya saya tetap kena bayar harga yang memang saya tidak mampu. Akhirnya nombor itu terlepas daripada buntut kereta buruk saya. Sama  juga seperti nombor BAB1 yang walaupun tidak enak bunyinya, pasti mahal juga jika dibida.

Sekarang saya hanya mampu berdoa siang malam moga saya sendiri akan punya cukup wang untuk membida nombor plat MMY1 apabila sampai masanya kelak. Bercakap pasal nombor plet, saya teringat akan kisah seorang jutawan  kosmetik yang mengahwini seorang gadis berusia 19 tahun, empat tahun lalu dengan hantaran tunai RM20,000, sebuah kereta Mercedes model CLS350 bernilai RM1 juta dengan nombor plet satu angka.

Walaupun sudah berlalu empat tahun, saya masih mahu berkata "WOWWW!" setiap kali teringat perkara itu. Tidak mengapalah, rezeki kita masing-masing. Itulah sahaja cara mahu pujuk hati dalam keadaan kita sendiri tidak mampu.

Apa lagi yang boleh dikatakan selain itu? Sebut pasal hantaran barubaru ini entah dari mana keluar angka yang dikatakan nilai hantaran mengikut kelulusan seseorang gadis di negara kita. Lagi sekali "WOWWW!" Mengikut apa yang  dikatakan hantaran minimum itu, bagi yang berkelulusan setakat UPSR, PMR dan SRP, nilainya antara RM1,000 hingga RM3,000. SPM (RM3,000), STPM/diploma RM8,000 hingga RM12,000, ijazah pertama, RM12,000 hingga RM15,000 manakala sarjana, RM15,000 hingga RM20,000.

Bagi pemegang doktor falsafah pula, RM20,000 hingga RM30,000. Walaupun angka yang disebar dalam Internet ini mungkin dibikin secara suka-suka namun saya percaya ia diguna pakai oleh sesetengah ibu bapa untuk meletakkan  hantaran anak gadis mereka. Iyalah, itu hak masing-masing.

Namun secara jujurnya, apabila soal kelulusan yang dijadikan asas, saya khuatir peranan isteri dalam perkahwinan juga akan turut berubah. Baik di pihak suami mahupun isteri, mereka masing-masing mungkin anggap peranan isteri  bukan lagi sebagai pengurus rumah tangga sebaliknya sama seperti suami, sebagai penjana ekonomi.

Dalam keadaan itu, dari segi persepsi, masing-masing mungkin akan berasa sama taraf, keegoan isteri akan meningkat dan penghormatan kepada suami jadi lebih rendah daripada sepatutnya. Isteri turut anggap dirinya mempunyai  kuasa tawar menawar yang tinggi dalam membuat keputusan dan akan cenderung untuk membantah suami. Maklumlah berkelulusan tinggi.

Selain itu, alasan sibuk dengan urusan kerjaya untuk mengurangkan perhatian terhadap suami dan rumah tangga hampir pasti akan berlaku. Banyak lagi mahu disebut sebenarnya namun cukuplah jika saya kemukakan hanya satu soalan: Bagaimana jika seseorang isteri yang berkelulusan Ph D misalnya, tidak tahu masak? Bolehkah dikurangkan hantaran itu sehingga 20 atau 30 peratus?

Bagi lelaki konservatif seperti saya, isu masak memasak bagi seseorang  wanita adalah sangat penting. Ya, dengan wang yang berkepuk, tidak jadi masalah untuk nak turun restoran mewah setiap hari namun harus diingat, air tangan isteri adalah pengikat kasih sayang suami.

Begitu juga dengan wang yang banyak tentunya mampu menggaji tiga empat bibik sekali pun namun suami mana yang tahan jika setiap hari hanya dihidangkan bakso, bergedel dan tempe dan makan hanya bertemankan bibik  sedang isteri yang berkelulusan tinggi itu pula sibuk bermesyuarat di sana sini?

Lainlah jika si bibik secantik Rossa, isteri mesyuarat sebulan terus pun tidak mengapa. Tidak! Saya bukan mahu mengatakan wanita di negara ini tidak boleh berkelulusan tinggi. Namun janganlah sampai dikesampingkan hukum agama dan budaya bangsa kita dengan menjadikan kelulusan sebagai ukuran hantaran.

Jangan sampai ada yang suami yang 'berdendam' kerana terpaksa berbelanja besar untuk kahwin hingga kemudiannya jadi terlalu 'berkira' atau mengatur misi untuk 'mencukur' isteri habishabisan setelah berumah tangga. Ini bukan  mustahil jika ada yang sampai terlibat dengan hutang piutang. Apa yang penting ialah tanggung jawab asasi masing-masing diutamakan.

Suami dengan peranannya terutama dalam bab nafkah meskipun isteri bergaji besar. Dan isteri pula dengan tanggung jawabnya untuk jaga makan minum suami dengan sebaiknya meskipun dari segi kewangan, mereka mampu atur tangga restoran mewah siang malam.

Dengan itu, rumah tangga akan lebih berkat dan diberi rahmat dengan kebahagiaan yang hanya boleh dirasai meskipun tidak kelihatan.

0 comments:

Post a Comment