Pages

Labels

Powered by Blogger.

Friday 13 July 2012

SURUH JAGA SETIAP KAWASAN

KUALA TERENGGANU – Pasukan Rela perlu ditempatkan di kawasan berisiko berlaku jenayah terutama di kompleks beli-belah bagi membantu polis menangani kadar jenayah.

Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, dengan jumlah keanggotaan Rela yang mencecah hampir tiga juta itu seharusnya mereka dikerah untuk menjaga keselamatan rakyat agar lebih terjamin.

"Rela merupakan pasukan yang cukup besar dan kalau kita dapat tempatkan mereka di tempat yang strategik saya percaya perananya akan menjadi lebih besar dan memberi nilai yang lebih tinggi.

“Sebab itulah apabila Kementerian dalam Negeri (KDN) mengumumkan agar Rela diberi tugas berkawal di kawasan kompleks beli belah, bukan sahaja di tempat orang ramai, tetapi juga di kawasan tempat letak kereta secara tidak langsung membuatkan rakyat berasa keselamatan mereka lebih terjamin,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perjumpaan dengan Rela Negeri Terengganu di Kompleks Sukan Tertutup Negeri Terengganu, Gong Badak, di sini, semalam.

Menurutnya, transformasi yang ditunjukkan Rela yang pada asalnya ditubuhkan untuk melawan komunis itu bukan semakin menguncup tetapi telah menjadikan pasukan sukarelawan itu lebih penting dan relevan mengikut keperluan rakyat hari ini.

Katanya, hasrat kerajaan untuk merakyatkan tanggungjawab iaitu peranan menjaga keamanan dan keselamatan negara dilakukan sendiri rakyat telah mencapai sasaran dan situasi itu dibuktikan dengan penubuhan pasukan Rela di seluruh pelosok negara.

Sementara itu, dalam perkembangan sama, beliau turut mengulas keselamatan negara bertambah baik dan perkara itu terbukti dengan penurunan kadar jenayah yang ditunjukkan kini.

“Ramai yang mempertikaikan penurunan kadar jenayah, di mana apabila pihak media tidak kira media cetak atau elektronik dan sebagainya melaporkan sesuatu berita mengenai jenayah ia mendapat liputan meluas, sedangkan masalah yang dihadapi adalah persepsi sahaja,” katanya.

Kata beliau, kerajaan menghadapi cabaran lebih besar apabila pelbagai maklumat kini dapat diperoleh dengan mudah dengan penggunaan internet dan cara bertindak serta strategi juga perlu diubah mengikut kesesuaian perubahan masa kini.

0 comments:

Post a Comment