Pages

Labels

Powered by Blogger.

Friday 13 July 2012

KETIADAAN LONGKANG PUNCA BANJIR

ALOR SETAR - Hujan lebat yang turun selama 10 minit sudah cukup menjadikan kawasan halaman rumah Jamaliah Abas, 56, digenangi air, malah jika ia berlarutan selama 30 minit, rumahnya pula akan dimasuki air lumpur.

Itu dugaan yang terpaksa ditempuhi wanita ini dan keluarganya sejak tiga tahun lalu disebabkan ketiadaan sistem perparitan yang sempurna berhampiran rumah mereka di Kampung Mempelam, Mergong.

Menurutnya, rumah pusaka itu sudah didiaminya sejak lebih 30 tahun lalu bersama suami serta tiga anak perempuan.

“Perkara ini memang merunsingkan, walaupun sudah dimaklumkan kepada pimpinan di peringkat kampung namun sehingga ke hari ini, ia masih belum selesai.

“Ketiadaan sistem saliran dan perparitan yang baik menyebabkan air bukan sahaja bertakung di halaman rumah tetapi akan masuk ke dalam rumah apabila hujan berterusan,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Jamaliah berkata, pendapatannya melalui perniagaan kecilan di rumah tidak mencukupi untuk membolehkannya membina sendiri longkang kecil di kawasan rumah.

“Justeru saya berharap ada pihak yang dapat tampil menyelesaikan masalah ini. Saya minta pihak bertanggungjawab turun padang dan membina sistem perparitan yang sempurna di kawasan ini,” katanya.

Tinjauan Sinar Harian mendapati tiada longkang dibina di kawasan berkenaan menyebabkan air tidak dapat mengalir dan bertakung di halaman rumah sebelum melimpah ke dalam rumah.

Datuk Bandar, Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS), Datuk Mat Noh Ahmad berkata, pihaknya akan mengkaji aduan berkenaan sebelum mengambil tindakan lanjut.

0 comments:

Post a Comment