Pages

Labels

Powered by Blogger.

Friday 13 July 2012

KANAK-KANAK NYARIS RENTUNG

BATU CAVES – Seorang budak berusia 10 tahun nyaris rentung dalam kebakaran yang berlaku di Kampung Melayu di sini, semalam.

Kejadian itu disedari neneknya, Rohani Jamlus, 62, sekitar jam 11 pagi yang ketika itu sedang memasak di dapur dan tiba-tiba terhidu bau hangit menyebabkan dia tergerak hati meninjau rumah anaknya, Mohd Helmi Yaakob, 32, yang terletak 10 meter dari rumahnya.

Menurutnya, dia merasa terkejut melihat kepulan asap dan api sedang marak keluar dari tingkap rumah anaknya dan segera menghubungi balai bomba berhampiran bagaimanapun gagal menyelamatkan sebarang kelengkapan rumah kerana anaknya keluar bekerja.

“Saya amat bersyukur kerana cucu saya tidak terperangkap di rumah tersebut kerana baru beberapa minit mengejutkannya yang sedang tidur bersendirian di rumah itu untuk bersiap sedia ke sekolah sesi petang.

“Selepas kejadian, cucu ada menceritakan terdengar seperti letupan kecil menyebabkan dia tersedar dan bergerak ke rumah saya namun tidak memaklumkan bunyi itu sehinggalah saya bertanyakan sama ada terdapat apa-apa yang pelik di rumahnya sebelum kejadian,” katanya yang memaklumkan seorang cucunya lagi tiada di rumah ketika itu kerana berada di sekolah.

Sementara itu Mohd Helmi berkata, dia yang tinggal di rumah berkenaan sejak dua tahun lalu bersama dua anaknya menerima panggilan sekitar jam 12 tengah hari daripada ibunya memaklumkan berlaku kebakaran sebelum bergegas pulang dari tempat kerja terletak di Gombak.

“Sejurus sampai di rumah didapati hampir 80 peratus rumah terbakar dan tidak dapat menyelamatkan sebarang harta benda,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Selayang, Azrul Khairi Abu Bakar berkata, siasatan mendapati punca kebakaran disebabkan litar pintas.

0 comments:

Post a Comment