Pages

Labels

Powered by Blogger.

Friday 13 July 2012

KERAJAAN SELANGOR SEDIA LULUS LANGAT 2


TANJONG KARANG – Kerajaan Negeri sedia berunding untuk memberi kelulusan projek pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2 (Langat 2) jika ada dokumen ‘hitam putih’ daripada Kerajaan Pusat.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, dokumen bertulis itu penting sebagai jaminan Kerajaan Pusat tidak akan memungkiri janji untuk tidak menaikkan tarif air sewenang-wenangnya, jika projek berkenaan siap.

“Kena buat (dokumen) bertulislah, nanti kalau cakap saja tak jadi. Ini bukan kes RM1 juta, ini kes besar. Kita juga boleh berbincang dengan Kerajaan Pusat untuk menentukan harga air supaya tidak naik untuk tempoh tertentu secara berkala. Jika mereka boleh buat demikian, Langat 3 pun boleh buat.
“Ia juga melibatkan janji kepada rakyat yang penggunanya (di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya) yang melebihi 2 juta orang,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Terima Kasih Rakyat, semalam.

Beliau berkata demikian ketika di-minta mengulas kesediaan Kerajaan Pusat berunding mengenai tarif air yang mungkin tidak akan dinaikkan jika Langat 2 siap kelak.

Abdul Khalid berkata, jika benar Kerajaan Pusat bersetuju tidak menaikkan harga air, beliau juga berhasrat untuk
berbincang tentang harta Kerajaan Negeri bernilai RM10.5 bilion melibatkan pemilikan paip supaya diiktiraf untuk memudahkan pengurusan.

Mengulas mengenai kos pembinaan Langat 2 yang dikatakan lebih rendah berbanding perancangan Kerajaan Negeri sebelum ini, Abdul Khalid berkata, Kerajaan Persekutuan perlu memeriksa semula jumlah keseluruhan  kos pembinaan.

“Bukan kita tidak percaya, mereka juga kena lihat (jumlah kos keseluruhan) kerana Langat 2 bukan setakat loji pembersihan air, tetapi termasuk empangan yang dibuat di Pahang dan terowong sehinggalah  sampai ke loji,” katanya.

Mengenai dakwaan krisis air mungkin berlaku tahun depan, Abdul Khalid berkata, Kerajaan Negeri mempunyai cara memperbanyakkan lagi keluaran air terawat di setiap loji rawatan air sedia ada, dalam tempoh setahun.

“Kalau hari ini kita setuju Langat 2, ia akan siap dua tahun sekurangkurangnya.Kalau kata loji ‘overload’, sebab itulah kita hendak tukar Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) kerana ada syarikat yang boleh tingkatkan lagi pengeluaran di setiap loji menggunakan ‘continuous membrane technology’. Kita akan adakan perbincangan,”  katanya.

Kelmarin, Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air mengadakan Sesi Penerangan Mengenai Isu Air Selangor bagi memberikan penjelasan berhubung krisis air menjelang 2014 di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Menterinya, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui, meminta supaya Kerajaan Negeri mengutamakan kepentingan rakyat dengan meluluskan pembinaan Langat 2 dan beliau sedia membincangkan kadar tarif air selepas projek itu selesai kelak.

0 comments:

Post a Comment