Pages

Labels

Powered by Blogger.

Saturday, 21 July 2012

ARSENAL MAHU LLORENTE

ARSENAL tidak menolak kemungkinan meneruskan bidaan terhadap penyerang Atletic Bilbao, Fernando Llorente sebagai ganti sekiranya Robin Van Persie (RVP) meninggalkan kelab itu.

Pengurusnya Arsene Wenger, mahu penyelesaian segera dilakukan untuk memberi tumpuan kepada persediaan musim depan sementara masih sempat mencari pengganti kapten itu.

Berdasarkan kontrak Llorente, mana-mana kelab yang mahukan khidmat pemain itu perlu membayar £28 juta (RM138 juta) dan Wenger dikhabarkan mahu menggunakan £20 juta (RM99 juta) hasil bayaran yang diterima jika melepaskan RVP.

“Saya percaya Llronte memiliki kelebihan tersendiri,” katanya.

Bagaimanapun, sama ada Bilbao bersedia berbincang atau tidak belum dapat dipastikan, memandangkan tawaran diberi kurang daripada nilai perpindahan Llronte.

Sementara itu, nasib RVP belum diketahui sama ada beliau akan turut serta atau tidak pada siri jelalah pra musim Arsenal.

The Gunnerrs di jadual berdepan skuad Harimau Malaya 24 Julai ini pada aksi persahabatan sebelum bertandang ke Beijing dan Hong Kong.

Kini, hanya Manchester City mahukan RVP selepas pesaing Manchester United menarik diri.

Ulama lebih baik di luar parti

SHAH ALAM - Ulama lebih baik berada di luar parti, kata pemikir terkemuka, Dr Chandra Muzaffar ketika diminta mengulas cadangan supaya golongan ilmuwan Islam itu diberi tempat sebagai salah satu sayap dalam parti Umno.

Menurutnya, keadaan akan lebih terjamin jika golongan ulama tidak terikat dengan mana-mana parti politik.

“Kalau mereka tidak terikat dengan mana-mana parti, mereka boleh bangkitkan sesuatu isu secara bebas dan tidak akan dianggap sebagai jurucakap parti. Mereka juga boleh berhujah berdasarkan fakta.

“Saya tidak setuju sekiranya ulama berada dalam parti, tidak kira pemerintah atau pembangkang, kerana ia akan menyekat pergerakan dan pandangan mereka. Setiap kali mereka jelaskan sesuatu dalam parti, mereka akan beri pandangan berdasarkan kepentingan parti,” katanya.

Friday, 13 July 2012

KETIADAAN LONGKANG PUNCA BANJIR

ALOR SETAR - Hujan lebat yang turun selama 10 minit sudah cukup menjadikan kawasan halaman rumah Jamaliah Abas, 56, digenangi air, malah jika ia berlarutan selama 30 minit, rumahnya pula akan dimasuki air lumpur.

Itu dugaan yang terpaksa ditempuhi wanita ini dan keluarganya sejak tiga tahun lalu disebabkan ketiadaan sistem perparitan yang sempurna berhampiran rumah mereka di Kampung Mempelam, Mergong.

Menurutnya, rumah pusaka itu sudah didiaminya sejak lebih 30 tahun lalu bersama suami serta tiga anak perempuan.

“Perkara ini memang merunsingkan, walaupun sudah dimaklumkan kepada pimpinan di peringkat kampung namun sehingga ke hari ini, ia masih belum selesai.

“Ketiadaan sistem saliran dan perparitan yang baik menyebabkan air bukan sahaja bertakung di halaman rumah tetapi akan masuk ke dalam rumah apabila hujan berterusan,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Jamaliah berkata, pendapatannya melalui perniagaan kecilan di rumah tidak mencukupi untuk membolehkannya membina sendiri longkang kecil di kawasan rumah.

“Justeru saya berharap ada pihak yang dapat tampil menyelesaikan masalah ini. Saya minta pihak bertanggungjawab turun padang dan membina sistem perparitan yang sempurna di kawasan ini,” katanya.

Tinjauan Sinar Harian mendapati tiada longkang dibina di kawasan berkenaan menyebabkan air tidak dapat mengalir dan bertakung di halaman rumah sebelum melimpah ke dalam rumah.

Datuk Bandar, Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS), Datuk Mat Noh Ahmad berkata, pihaknya akan mengkaji aduan berkenaan sebelum mengambil tindakan lanjut.

KANAK-KANAK NYARIS RENTUNG

BATU CAVES – Seorang budak berusia 10 tahun nyaris rentung dalam kebakaran yang berlaku di Kampung Melayu di sini, semalam.

Kejadian itu disedari neneknya, Rohani Jamlus, 62, sekitar jam 11 pagi yang ketika itu sedang memasak di dapur dan tiba-tiba terhidu bau hangit menyebabkan dia tergerak hati meninjau rumah anaknya, Mohd Helmi Yaakob, 32, yang terletak 10 meter dari rumahnya.

Menurutnya, dia merasa terkejut melihat kepulan asap dan api sedang marak keluar dari tingkap rumah anaknya dan segera menghubungi balai bomba berhampiran bagaimanapun gagal menyelamatkan sebarang kelengkapan rumah kerana anaknya keluar bekerja.

“Saya amat bersyukur kerana cucu saya tidak terperangkap di rumah tersebut kerana baru beberapa minit mengejutkannya yang sedang tidur bersendirian di rumah itu untuk bersiap sedia ke sekolah sesi petang.

“Selepas kejadian, cucu ada menceritakan terdengar seperti letupan kecil menyebabkan dia tersedar dan bergerak ke rumah saya namun tidak memaklumkan bunyi itu sehinggalah saya bertanyakan sama ada terdapat apa-apa yang pelik di rumahnya sebelum kejadian,” katanya yang memaklumkan seorang cucunya lagi tiada di rumah ketika itu kerana berada di sekolah.

Sementara itu Mohd Helmi berkata, dia yang tinggal di rumah berkenaan sejak dua tahun lalu bersama dua anaknya menerima panggilan sekitar jam 12 tengah hari daripada ibunya memaklumkan berlaku kebakaran sebelum bergegas pulang dari tempat kerja terletak di Gombak.

“Sejurus sampai di rumah didapati hampir 80 peratus rumah terbakar dan tidak dapat menyelamatkan sebarang harta benda,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Selayang, Azrul Khairi Abu Bakar berkata, siasatan mendapati punca kebakaran disebabkan litar pintas.

OKU LEMAS TERHUMBAN DALAM PARIT

UMBAI - Seorang remaja orang kurang upaya (OKU) maut akibat lemas selepas dia bersama motosikal ditungganginya terhumban dalam parit di Taman Bukit Tembakau Indah, di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira 11.30 malam itu, Mohamad Falzeli Mohd Nasir, 21, yang cacat pendengaran dan bisu dalam perjalanan dari sebuah kilang, ke rumahnya di Bukit Pegoh.

Mangsa yang bekerja sebagai pencuci kereta itu dikatakan masih bernyawa, namun disebabkan mengalami lemah saraf di kaki dan tangan kanan, menyebabkan dia tidak berupaya untuk bangun sendiri.

Pemangku Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Shahidi Abdullah berkata, motosikal yang ditunggangi mangsa terbabas sebelum masuk ke dalam parit sehingga membuatkan mangsa meninggal dunia.

"Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Jasin untuk bedah siasat," katanya.

Sementara itu, ibu mangsa, Puspa Muhamad Diah, 49, berkata, tidak menyangka perbuatan pelik anaknya yang dipanggil 'Abang' bersalaman dengan semua ahli keluarga menjadi petanda akan pergi buat selama-lamanya.

“Abang menunjukkan sikap pelik dua tiga hari ini apabila bersalaman dengan saya dan ayahnya sebelum pergi kerja," katanya.

HILANG SELEPAS BERBUAL DEGAN IBU

KUANTAN – Seorang ibu mengesyaki anaknya menjadi mangsa culik apabila gadis itu tiba-tiba hilang dari tempat duduknya beberapa minit selepas mereka berbual.

Ana Zali, 45, berkata, ketika kejadian kira-kira jam 11.30 pagi Selalu lalu, dia sedang memeriksa barang dalam sebuah bangunan di tempat kerja di Taman Tas sambil melayan Nor Afifa Abd Rahman, 20, yang ketika itu berada di sebelahnya.

Bagaimanapun dia menyedari kehilangan Nor Afifa selepas tidak mendengar suara anaknya.

“Saya terkejut kerana dia tiba-tiba hilang dari tempat duduknya. Saya keluar mencarinya di semua kawasan di bangunan itu termasuk bertanya kepada mereka yang berada di situ tetapi tidak menemui sebarang kesan,” katanya.

Ana berkata, dia terpaksa membawa Nor Afifa ke tempat kerja kerana bimbang dengan keadaan anaknya yang demam sejak dua minggu lalu dan tidak mahu meninggalkannya sendirian di rumah.

Katanya, ketika anaknya hilang, dia memakai baju merah jambu dan hitam, berseluar dan bertudung hitam.

Ibu kepada empat anak itu juga mengakui Nor Afifa seorang gadis yang bukan sahaja patuh kepada ibu bapa tetapi sentiasa berhubungan rapat dengan keluarga.

Bimbang dengan keselamatan anaknya, Ana membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan kira-kira jam kira-kira jam 4.30 petang.

Menurutnya, mereka sekeluarga masih berusaha mencari Nur Afifa di sekitar Kuantan dan mengesyaki anaknya masih berada di daerah ini.

“Kami tidak pernah jemu mencarinya dan mahu dia selamat pulang ke pangkuan keluarga,” katanya yang buntu dengan kejadian itu.

Ana berharap, orang ramai boleh membantunya mengesan Nor Afifa dengan menghubunginya di talian 019 – 6076242  jika ternampak anaknya di kawasan mereka.

SURUH JAGA SETIAP KAWASAN

KUALA TERENGGANU – Pasukan Rela perlu ditempatkan di kawasan berisiko berlaku jenayah terutama di kompleks beli-belah bagi membantu polis menangani kadar jenayah.

Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, dengan jumlah keanggotaan Rela yang mencecah hampir tiga juta itu seharusnya mereka dikerah untuk menjaga keselamatan rakyat agar lebih terjamin.

"Rela merupakan pasukan yang cukup besar dan kalau kita dapat tempatkan mereka di tempat yang strategik saya percaya perananya akan menjadi lebih besar dan memberi nilai yang lebih tinggi.

“Sebab itulah apabila Kementerian dalam Negeri (KDN) mengumumkan agar Rela diberi tugas berkawal di kawasan kompleks beli belah, bukan sahaja di tempat orang ramai, tetapi juga di kawasan tempat letak kereta secara tidak langsung membuatkan rakyat berasa keselamatan mereka lebih terjamin,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perjumpaan dengan Rela Negeri Terengganu di Kompleks Sukan Tertutup Negeri Terengganu, Gong Badak, di sini, semalam.

Menurutnya, transformasi yang ditunjukkan Rela yang pada asalnya ditubuhkan untuk melawan komunis itu bukan semakin menguncup tetapi telah menjadikan pasukan sukarelawan itu lebih penting dan relevan mengikut keperluan rakyat hari ini.

Katanya, hasrat kerajaan untuk merakyatkan tanggungjawab iaitu peranan menjaga keamanan dan keselamatan negara dilakukan sendiri rakyat telah mencapai sasaran dan situasi itu dibuktikan dengan penubuhan pasukan Rela di seluruh pelosok negara.

Sementara itu, dalam perkembangan sama, beliau turut mengulas keselamatan negara bertambah baik dan perkara itu terbukti dengan penurunan kadar jenayah yang ditunjukkan kini.

“Ramai yang mempertikaikan penurunan kadar jenayah, di mana apabila pihak media tidak kira media cetak atau elektronik dan sebagainya melaporkan sesuatu berita mengenai jenayah ia mendapat liputan meluas, sedangkan masalah yang dihadapi adalah persepsi sahaja,” katanya.

Kata beliau, kerajaan menghadapi cabaran lebih besar apabila pelbagai maklumat kini dapat diperoleh dengan mudah dengan penggunaan internet dan cara bertindak serta strategi juga perlu diubah mengikut kesesuaian perubahan masa kini.