Pages

Labels

Powered by Blogger.

Friday, 13 July 2012

JANGAN PERTIKAIKAN POLIS

SHAH ALAM – Tindakan polis melepaskan tembakan kepada dua suspek dalam kejadian amuk di Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Putrajaya, Isnin lalu tidak wajar dipertikaikan.

Penganalisis Jenayah, Kamal Affendi Hashim berkata, tindakan polis itu bagi melindungi keselamatan orang awam di kawasan berkenaan, setelah rayuan dan perbincangan dengan pasangan terbabit tidak mendapat maklum balas positif.
 
Menurutnya, berdasarkan Seksyen 9, Akta Larangan dan Kawasan Larangan 1959, semakan 1983, mana-mana orang yang cuba memasuki atau berada di kawasan larangan atau tempat larangan tidak berhenti setelah dicabar tiga kali oleh pegawai berkuasa boleh ditangkap dengan kekerasan.

Katanya, kekerasan itu perlu untuk melaksanakan penangkapan dan boleh berlanjutan sehingga menyebabkan kematian dengan sengaja.

“Situasinya, mangsa telah dipujuk namun enggan berundur mendesak polis untuk bertindak.

"Tembakan dilepaskan bukan terus mengenai kepala mangsa, tetapi di bahagian ari-ari dan tangan. Mangsa juga bukannya meninggal dunia serta merta di tempat kejadian tetapi di hospital,” katanya.

Kamal Affendi berkata, penggunaan pistol elektrik dalam keadaan tersebut juga boleh mengundang kecederaan parah serta kematian.

Dalam pada itu, beliau menyarankan, adalah lebih baik ahli keluarga pesakit mental bertindak awal mendapatkan rawatan pakar bagi mengatasi masalah yang dihadapi anggota keluarga

MAKAN PURBA DITEMUI

BEBERAPA ahli arkeologi menemui sembilan makam purba di wilayah Cusco, Peru baru-baru ini.

LIMA – Pakar-pakar arkeologi menemui sembilan makam purba di wilayah Cusco, kata pemerintah Peru seperti yang dilaporkan sebuah akhbar kelmarin.

Makam-makam itu berasal daripada Tamadun Wari yang telah lama wujud di Peru sebelum negara Amerika Selatan itu dijajah oleh Sepanyol pada tahun 1500.

Penemuan penting tersebut yang dibuat di banjaran Andes, selatan bandar ini, menunjukkan bangsa Wari terlebih dahulu memerintah rantau berkenaan sebelum empayar Inca berkembang pesat.

Tamadun Wari memiliki zaman kegemilangan di Andes di antara tahun 700 hingga 1200.

“Penemuan ini adalah penemuan terbaru yang paling penting iaitu sejak penemuan Machu Picchu,” kata seorang pegawai tempatan, Juan Garcia.

Machu Picchu merupakan kota peninggalan tamadun Inca di Peru yang ditemui pada 1911.

Kota bersejarah itu menerima kehadiran 500,000 pelawat pada setiap tahun.

“Bangsa Inca mungkin mendapat inspirasi daripada tamadun Wari dalam membangunkan sistem politik mereka,” kata Menteri Pelancongan Peru, Juan Ossio

Bangsa Inca membina empayar terbesar di rantau Amerika di antara tahun 1400 dan 1531.

KEADAAAN NURUL HUDA SEMAKIN STABIL


SHAH ALAM – Keadaan Nurul Huda Zanery, 12, yang sebelum ini sering batuk disebabkan menghidap penyakit tiroid semakin berkurangan, dia juga dijadualkan melakukan rawatan susulan pada 17 Julai ini di Hospital Selayang.

Ibu mereka, Adiana Othman, 44, berkata, anak keduanya Mohamad Amir, 11 sering mengadu lenguh di bahagian kaki, berpunca akibat penyakit saraf tunjang kongenital  yang dihadapinya.
Manakala, Fatihah yang menghidap penyakit kanser tulang leher masih menunggu tarikh rawatan susulan dari PPUKM bagi menjalani ujian imbasan magnetik resonan (MRI) pada kali kedua.

Adiana berkata, jumlah sumbangan yang diterima setakat ini bagi mengubati ketiga-tiga anak-anaknya sebanyak RM31,400.

“Hasrat saya adalah memberi rawatan yang terbaik untuk mereka akan tercapai,” katanya.

Sehubungan dengan itu, mana-mana pihak yang prihatin dengan nasib mereka dan berhasrat untuk menghulurkan bantuan sumbangan boleh disalurkan melalui akaun Maybank milik Adiana 162508103642 atau menghubunginya di talian 013-2934873

KOLEKSI PANTUN BUDI | PANTUN TRADISIONAL

 Assalamualaikum dan salam sejahtera buat anda semua kerana sudi datang ke blog saya di sini saya ingin kongsikan satu informasi yang sangat menarik untuk dikongsikan dengan anda semua, informasi tersebut berkaitan dengan Pantun Budi .

Masihkah anda ingati pantun budi?hurm semestinya bukan sebab bagi saya pantun budi itu seperti kehidupan seharian kita, baiklah tanpa membuang banyak masa lagi di bawah ini saya akan kongsikan dengan ada semua koleksi pantun budi yang menarik .


Dari Daik pulang ke Daik
Sehari-hari berkebun pisang
Budi baik dibalas baik
Dalam hati dikenang orang
Tanam lenggun tumbuh kelapa
Terbit bunga pucuk mati
Budi tuan saya tak lupa
Sudah terpaku di dalam hati
Tenang-tenang air laut
Sampan kolek mudik ke tanjung
Hati terkenang mulut menyebut
Budi baik rasa nak junjung
Kapal belayar dari Arakan
Ambil gaji jadi jemudi
Mati ikan kerana umpan
Mati saya kerana budi
Banyak ubi perkara ubi
Ubi keledek ditanam orang
Banyak budi perkara budi
Budi baik dikenang orang
Lipat kain lipat baju
Lipat kertas dalam puan
Dari air menjadi batu
Sedikit tak lupa budi tuan
Jentayu burung jentayu
Hinggap di balik pokok mayang
Bunga kembang akan layu
Budi baik bilakan hilang
Jika belayar ke tanah Aceh
Singgah dulu di kota Deli
Jika hendak orang mengasih
Hendaklah baik bicara budi
Dewa sakti melayang ke Daik
Hendak mencari Dewa Jaruga
Kalau ada budi yang baik
Sampai ke mati orang tak lupa
Baik-baik bertanam padi
Jangan sampai dimakan rusa
Baik-baik termakan budi
Jangan sampai badan binasa
Tingkap papan kayu bersegi
Sampan sakat di Pulau Angsa
Indah tampan kerana budi
Tinggi darjat kerana bahasa
Pulau Pandan jauh ke tengah
Gunung Daik bercabang tiga
Hancur badan dikandung tanah
Budi yang baik di kenang juga
Pergi ke sawah menanam padi
Singgah disungai menangkap ikan
Hidup hendaklah bersendikan budi
Sifat sombong jangan amalkan
Apa guna berkain batik
Kalau tidak dengan sucinya?
Apa guna beristeri cantik
Kalau tidak dengan budinya
Bunga melati bunga di darat
Bunga seroja di tepi kali
Hina besi kerana karat
Hina manusia tidak berbudi
Pisang emas dibawa belayar
Masak sebiji di atas peti
Hutang emas boleh dibayar
Hutang budi dibayar mati
Anak merak Kampung Cina
Singgah berhenti kepala titi
Emas perak kebesaran dunia
Budi bahasa tak dapat dicari
Bunga Cina di atas batu
Jatuh daunnya ke dalam ruang
Adat dunia memang begitu
Sebab emas budi terbuang
Anak beruk di tepi pantai
Pandai melompat pandai berlari
Biar buruk kain dipakai
Asal hidup pandai berbudi
Anak angsa mati lemas
Mati lemas di air masin
Hilang bahasa kerana emas
Hilang budi kerana miskin
Yang kurik tu kundi
Yang merah saga
Yang baik itu budi
Yang indah itu bahasa
Limau manis dimakan manis
Manis sekali rasa isinya
Dilihat manis dipandang manis
Manis sekali hati budinya
Cuaca gelap semakin redup
Masakan boleh kembali terang
Budi bahasa amalan hidup
Barulah kekal dihormati orang
Tuan Puteri membeli ginseng
Singgah di pasar mencari kari
Jangan ikut budaya samseng
Kelak menyesal di kemudian hari

KERAJAAN SELANGOR SEDIA LULUS LANGAT 2


TANJONG KARANG – Kerajaan Negeri sedia berunding untuk memberi kelulusan projek pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2 (Langat 2) jika ada dokumen ‘hitam putih’ daripada Kerajaan Pusat.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, dokumen bertulis itu penting sebagai jaminan Kerajaan Pusat tidak akan memungkiri janji untuk tidak menaikkan tarif air sewenang-wenangnya, jika projek berkenaan siap.

“Kena buat (dokumen) bertulislah, nanti kalau cakap saja tak jadi. Ini bukan kes RM1 juta, ini kes besar. Kita juga boleh berbincang dengan Kerajaan Pusat untuk menentukan harga air supaya tidak naik untuk tempoh tertentu secara berkala. Jika mereka boleh buat demikian, Langat 3 pun boleh buat.
“Ia juga melibatkan janji kepada rakyat yang penggunanya (di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya) yang melebihi 2 juta orang,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Terima Kasih Rakyat, semalam.

Beliau berkata demikian ketika di-minta mengulas kesediaan Kerajaan Pusat berunding mengenai tarif air yang mungkin tidak akan dinaikkan jika Langat 2 siap kelak.

Abdul Khalid berkata, jika benar Kerajaan Pusat bersetuju tidak menaikkan harga air, beliau juga berhasrat untuk
berbincang tentang harta Kerajaan Negeri bernilai RM10.5 bilion melibatkan pemilikan paip supaya diiktiraf untuk memudahkan pengurusan.

Mengulas mengenai kos pembinaan Langat 2 yang dikatakan lebih rendah berbanding perancangan Kerajaan Negeri sebelum ini, Abdul Khalid berkata, Kerajaan Persekutuan perlu memeriksa semula jumlah keseluruhan  kos pembinaan.

“Bukan kita tidak percaya, mereka juga kena lihat (jumlah kos keseluruhan) kerana Langat 2 bukan setakat loji pembersihan air, tetapi termasuk empangan yang dibuat di Pahang dan terowong sehinggalah  sampai ke loji,” katanya.

Mengenai dakwaan krisis air mungkin berlaku tahun depan, Abdul Khalid berkata, Kerajaan Negeri mempunyai cara memperbanyakkan lagi keluaran air terawat di setiap loji rawatan air sedia ada, dalam tempoh setahun.

“Kalau hari ini kita setuju Langat 2, ia akan siap dua tahun sekurangkurangnya.Kalau kata loji ‘overload’, sebab itulah kita hendak tukar Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) kerana ada syarikat yang boleh tingkatkan lagi pengeluaran di setiap loji menggunakan ‘continuous membrane technology’. Kita akan adakan perbincangan,”  katanya.

Kelmarin, Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air mengadakan Sesi Penerangan Mengenai Isu Air Selangor bagi memberikan penjelasan berhubung krisis air menjelang 2014 di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Menterinya, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui, meminta supaya Kerajaan Negeri mengutamakan kepentingan rakyat dengan meluluskan pembinaan Langat 2 dan beliau sedia membincangkan kadar tarif air selepas projek itu selesai kelak.

BEKAS MENTERI PENGANGKUTAN LUPA BAWA KAD PENGENALAN


KUALA LUMPUR - Bekas Menteri Pengangkutan Tun Dr Ling Liong Sik, yang diperintah membela diri dalam kes melibatkan projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) di Mahkamah Tinggi di sini, terlupa membawa kad pengenalannya.

Beliau yang merupakan saksi utama hanya menyedari ketiadaan dokumen itu ketika diminta menyerahkannya kepada jurubahasa mahkamah sebelum mengangkat ikrar untuk memberi keterangan.
Pada mulanya, Liong Sik memberi isyarat kepada isterinya, Toh Puan Ena Ling dan dua anak lelaki mereka, Hee Liong dan Hee Keat bagi menanyakan perkara itu tetapi semua  menyatakan tidak membawa dokumen tersebut.
Liong Sik, yang pernah berkhidmat selama 17 tahun bersama kerajaan, bagaimanapun dibenar memberi keterangan atas budi bicara Hakim Datuk Ahmadi Asnawi.

Pada kebiasaannya, setiap saksi yang memberi keterangan perlu menyerahkan kad pengenalan masing-masing untuk merekod data peribadi seperti nama penuh dan alamat tetap. 

Sementara itu, pada prosiding hari ini, Liong Sik berkata, bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad selalu membantu beliau dan bertanya kepada anggota Kabinet sama ada mereka mempunyai sebarang komen atau idea sebelum membuat sesuatu keputusan.
Liong Sik berkata, beliau memaklumkan Dr Mahathir berhubung projek PKFZ bagi mendapatkan bantuan kewangan dan sokongan daripada kerajaan.
"Saya beritahu Tun Dr Mahathir kerana jika beliau berminat, Kabinet juga akan berminat," katanya ketika menjawab soalan peguam Wong Kian Kheong.
Beliau berkata Tun Dr Mathathir juga dimaklumkan bahawa untuk melaksanakan projek itu, Kementerian Pengangkutan memerlukan tanah seluas 332 hektar (830 ekar) di Pulau Indah.
Katanya, pada setiap masa yang material, tidak seorangpun pegawai di kementerian itu dimaklumkan bahawa memo bekas Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan) Kementerian Pengangkutan Datuk Abdul Rahman Mohd Noor bertarikh 18 Mei 1999 (berhubung perbincangan cadangan pembelian tanah di Pulau Indah) adalah salah dan harga bagi nilai tanah itu bukan RM25 sekaki persegi (skp).
Liong Sik juga berkata, beliau tidak mengeluarkan sebarang memo kerana tugas itu dilakukan pegawainya.
Terdahulu, beliau berkata, idea untuk membangunkan projek itu timbul selepas melawat Zon Bebas Antarabangsa Jebel Ali di Dubai dan berpendapat ia mampu mempertingkat ekonomi negara.
Liong Sik, 68, dibicarakan atas pertuduhan menipu kerajaan Malaysia dengan tidak mendedahkan kepada Jemaah Menteri fakta berkaitan pembelian tanah seluas 335.8 hektar milik Kuala Dimensi Sdn Bhd (KDSB) di Pulau Indah, Klang bagi projek PKFZ, membabitkan RM1.08 bilion.
Beliau didakwa melakukan perbuatan itu antara 25 September2002 dan 6 November 2002 di Tingkat 4, Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Putrajaya.
Perbicaraan bersambung Isnin

BAHAYA FACEBOOK KEPADA UMAT ISLAM


Seorang ulama Iran menetapkan web media rangkaian sosial popular di seluruh dunia, Facebook bercanggah dengan ajaran Islam sekali gus berdosa menjadi ahlinya kerana menggalakkan peri laku tidak bermoral.

Ulama kanan itu, Ayatollah Lotfollah Safi-Golpaygani memberi pandangannya mengenai Facebook dan keahlian warga negaranya dalam web berkenaan ketika sesi soal jawab dengan agensi berita ISNA, semalam.

“Pada asasnya, perbuatan melayari mana-mana laman web yang menggalakkan peri laku tidak bermoral dan melemahkan pegangan agama bercanggah dengan Islam dan tidak dibenarkan selain menjadi ahli adalah haram.
 
“Hanya penggunaan laman web yang menekankan kriteria agama dan tidak membawa kepada sebarang peri laku atau etika tidak bermoral, tiada masalah,” katanya.

Di Iran, biasa bagi ulama kanannya ditanya mengenai dasar isu sosial sama ada ia sejajar dengan nilai Islam. Jawapan mereka akan dianggap sebagai satu peraturan.

Meskipun kerajaan mengenakan banyak sekatan terhadap internet, seramai 17 juta penduduk Iran ahli Facebook, lapor perangkaan rasmi pada 17 Oktober lalu.

Oleh kerana Facebook popular di kalangan generasi muda, pemerhati percaya bilangan penduduk Islam yang mempunyai akaun Facebook lebih tinggi daripada angka itu.

Iran mempunyai 70 juta penduduk, 60 peratus daripada mereka berusia di bawah 30 tahun.

Lebih lima juta laman web dikenakan sekatan di Iran tetapi warga negara itu masih mendapatkan akses menggunakan perisian proksi dan rangkaian persendirian maya (VPN).