Pages

Labels

Powered by Blogger.

Friday, 13 July 2012

TAKSUB POLITIK HINGGA BERCERAI


KOTA BHARU - Umno Kelantan menasihati masyarakat agar tidak terlalu taksud kepada parti politik masing-masing sehingga boleh menyebabkan penceraian sepertimana yang berlaku kepada pasangan warga emas di Pasir Mas.
Timbalan Pengerusi Umno Negeri Kelantan, Datuk Dr Awang Adek Husin berkata, jika sikap tersebut terbawa-bawa di dalam kehidupan harian ia boleh menimbulkan ketegangan dalam kalangan masyarakat apabila urusan agama di campur aduk dengan politik.
"Ini yang saya bimbangkan apabila masyarakat mempunyai sikap terlalu taksud apa sahaja boleh berlaku padahal ia hanya berpunca daripada berlainan fahaman politik sahaja.
"Disebabkan itulah kita perlu mempunyai sikap bersederhana dalam apa jua yang dilakukan kerana saya lihat ada sesetengah parti politik mengamalkan sikap terlalu taksud dan ia secara tidak langsung mendorong para penyokong untuk turut sama berkelakuan begitu," katanya ketika di temui di Forum BN Di Hati, Janji Ditepati di Dewan Umno Negeri Kelantan di sini, semalam.
Menurutnya yang juga Timbalan Menteri Kewangan berkata, tindakan tersebut menyebabkan ada sesetengah parti yang menghalalkan tindakan mereka yang melibatkan demostrasi, kekasaran dan sebagainya demi perjuangan parti tersebut.
Beliau berharap perkara tersebut tidak akan dijadikan gaya hidup di dalam masyarakat sekarang kerana ia mendatangkan lebih banyak keburukan daripada kebaikan.
Katanya ketika diminta mengulas mengenai tindakan seorang suami menceraikan isterinya yang sudah dikahwini selama 15 tahun akibat perbezaan politik.

ANAK JATI NEGARA HARUMKAN NAMA NEGARA DALAM TILAWAH AL-QURAN


UALA LUMPUR - Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa Ke-54 yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) mengukir sejarah kepada peserta Malaysia Muhammad Anuar Ghazali, 36, apabila dinobatkan sebagai juara kategori qari (lelaki).  
Anuar, yang berasal dari Kelantan dan memperdengarkan bacaaan Surah al-Hud, memperoleh markah 95.33 peratus. Naib johan disandang qari Iran Amin Pouya dengan 91.67 peratus manakala tempat ketiga milik Indonesia menerusi Raden Harmoko Baharudin (90.16 peratus).  
Bagi kategori qariah (wanita), peserta Maghribi Hasnae Khoulali, 19, yang memperdengarkan bacaan Surah al-Israk, memperoleh 94 peratus, sama seperti
markah yang diperoleh naib johan dan pemenang ketiga.
Hasnae menewaskan qariah Indonesia Rahmawati Bakri Hunawa dan qariah Malaysia Che Aminah Che Awang menerusi cara bacaan, tajwid, kefasihan serta suara dalam menentukan perkiraan markah mereka.
Pemenang tempat pertama bagi kedua-dua kategori membawa pulang wang tunai RM40,000 serta piala iringan, cenderamata dan sijil penyertaan yang disampaikan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah. Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah turut berangkat ke majlis itu. 
Naib johan pula membawa pulang wang tunai RM30,000 serta cenderamata dan sijil penyertaan manakala pemenang tempat ketiga menerima RM20,000, cenderamata serta sijil penyertaan.
Seramai 62 peserta tilawah kali ini menerima hadiah sagu hati wang tunai RM3,000 setiap seorang, cenderamata serta sijil penyertaan.   
Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin serta isteri Puan Sri Norainee Abd Rahman dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.  
Sementara itu, Anuar ketika ditemu bual melahirkan rasa syukur kerana penyertaan kali pertama di majlis tilawah amat bermakna apabila dinobatkan
sebagai juara.
"Saya amat cintakan ayat-ayat suci al-Quran sejak di tingkatan satu dan mengamalkan bacaan setiap hari dengan berjaga malam untuk mempraktikkan bacaan saya. Saya rasa tidak lengkap sekiranya satu hari tidak membaca al-Quran yang saya jadikan sebagai aktiviti harian," kata bapa kepada tiga anak dan guru Pendidikan Islam di Sekolah Kebangsaan Cochrane ini.
Hasnae pula berkata beliau, yang pertama kali menjejak kaki ke negara ini, berasa sangat teruja serta berterima kasih kepada semua pihak yang banyak
memberi sokongan serta dorongan kepadanya.
"Semua ini ketentuan ALLAH serta berkat doa keluarga dan diri sendiri," kata pelajar tahun keempat Universiti Muhammad V jurusan pengajian Islam menerusi
penterjemah.
Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Antarabangsa ke-54 bertema 'Pemacu Transformasi Ummah Wasatiyyah' yang berlangsung selama lapan malam mulai 6 Julai lepas, disertai 72 qari (44) dan qariah (27) dari 44 negara antaranya, Thailand, Brunei, Bosnia Herzegovina, Filipina serta Algeria.  
Jemaah hakim kali ini berpendapat setiap peserta telah memperdengarkan bacaan yang bagus dengan memelihara hukum tajwid.   
Majlis tahun ini menyaksikan penyertaan kali pertama tiga negara iaitu Belgium, Ghana dan Tanzania

ISU SAHAM FELDA GLOBAL

ALOR SETAR - Badan Generasi Prihatin 3R 1Malaysia mendedahkan anak syarikat Kerajaan Negeri, Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK), memiliki 500,000 unit saham Felda Global Ventures Holding (FGVH) yang disenaraikan di Bursa Malaysia.

Bendaharinya, Mansor Ahmad, meminta Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak selaku Pengerusi PKNK tampil membuat penjelasan mengenai perkara itu.

“Kami cabar Azizan perjelas secara terperinci perkara ini, sama ada ia dibolehkan atau di luar pengetahuannya. Difahamkan, pegawai kanan Kerajaan Negeri antara mereka yang memiliki saham itu,” katanya.

Menurutnya, pendedahan maklumat itu diperoleh daripada sumber yang boleh dipercayai dan bukannya tuduhan palsu.

Mansor kesal kerana pemimpin Pakatan Rakyat (PR) khususnya Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) yang dipimpin oleh AJK Pas Pusat, Mazlan Aliman sering mempertikai penyenaraian FGVH, dan pada masa sama pemimpin PR lain mengaut keuntungan daripada saham itu.

“Mereka suruh warga Felda menentang tindakan Kerajaan Pusat termasuk penyenaraian ke Bursa Malaysia. Sebaliknya pada masa sama, mereka kaut untung melalui pemilikan saham itu. Ini tidak beretika dan tidak sepatutnya berlaku,” katanya.

Menurutnya, difahamkan, PKNK sudah menjual sekitar 50,000 unit saham dua hari lalu manakala seorang individu didakwa turut memiliki 50,000 unit saham itu.

“Saya percaya pegawai peringkat negeri terlibat dalam penyelewengan ini. Azizan perlu bertanggungjawab selaku pengerusi dan perlu ambil tahu semua aspek termasuk pengurusan, kewangan dan operasi secara telus,” katanya.

Mansor yang bersaudara dengan peneroka Felda Bukit Tangga menegaskan, pihaknya mendedahkan perkara ini kerana tidak mahu ada peneroka terpedaya dan hilang hak mereka akibat pemilikan saham terbabit.

"Kami juga mahu membela kebajikan peneroka di Kedah," katanya.

HARGAILAH PANCAINDERA KITA


Ketahuilah bahawa sepasang mata dijadikan oleh Allah SWT untuk kita mempunyai banyak faedah sama ada di dunia mahupun di akhirat.
Apakah Faedahnya?

Antara faedah yang dinisbahkan kepada akhirat ialah memandang ke langit, matahari, bulan, bintang dan lain-lain agar anda dapat menjadikannya sebagai dalil dan bukti adanya Allah SWT, keesaanNya dan kekuasaanNya.

Antara faedahnya lagi ialah melihat Al-Quran, melihat jalan ke masjid dan ke tempat menuntut ilmu.

Sementara faedah yang dinisbahkan kepada dunia ialah melihat hasil usaha dan terlepas daripada sesuatu yang menyakitkan seperti jatuh dan berlaga
Bagaimana Menghargai Mata ?

Mensyukuri mata itu ialah memelihara dan mengawasinya daripada melihat setiap yang haram seperti melihat perempuan yang lain selain isterinya, hamba sahaya dan muhrimnya, dan juga melihat remaja yang muda belia umpama melihat aurat lelaki dan seumpamanya. Oleh sebab itu, lazimilah mengawasi mata anda daripada melihat dan memerhatikan setiap yang haram tersebut.

Kenapa?

Kerana Allah SWT ada berfirman di dalam surah An-Nur ayat 30 :

“Katakanlah wahai Rasulullah kepada orang-orang yang beriman lelaki, “Hendaklah mereka memejamkan (menahan) pandangan matanya (melihat yang terlarang yang tidak harus kamu melihatnya) dan memelihara kemaluan mereka (jangan berzina dan pasti mereka menjaga kemaluan mereka daripada perlakuan sedemikian) itu adalah lebih suci bagi mereka. Sesungguhnya Allah SWT Maha Mengetahui apa-apa yang mereka perbuat (sama ada zahir maupun batin mereka akan diberi balasan atas perbuatan mereka itu)”.

Ayat tersebut mengajar kita agar berkelakuan baik di samping memberitahu dan menimbulkan rasa takut kita untuk melakukannya. Kita diajar supaya sentiasa beradab dalam apa jua situasi.

“Katakanlah kepada orang-orang yang beriman, pasti mereka menahan dan memejamkan pandangan mata mereka daripada melihat sesuatu yang terlarang dan tidak halal dipandang”.

Allah SWT menyuruh hambaNya supaya berkelakuan baik iaitu mengawasi matanya daripada memandang yang haram dan menjaga kemaluannya daripada yang tidak halal.

Oleh sebab itu, wajib ke atas setiap hambanya menjunjung perintah Tuhannya, dan jika tidak sudah pasti ia akan berkelakuan jahat dan memang wajarlah ia dimurkai dan diseksa.

“Menahan pandangan mata dan menjaga kemaluan itu adalah lebih suci bersih bagi mereka”.

Allah SWT mahu hambaNya memejamkan mata dan memelihara kemaluan untuk mensuci bersihkan hati daripada segala dosa dan untuk memperbanyakkan lagi sesuatu amalan yang baik.

Sementara menimbulkan rasa takut (menakutkan), Allah SWT berfirman,

“Sesungguh Allah Taala Maha Mengetahui apa-apa yang mereka perbuat sama ada zahir mahupun batinnya”.

Allah SWT akan membalasnya apabila ia berkelakuan baik, pasti ia akan diberi balasan pahala, kesenangan syurga. Sebaliknya jika ia memiliki kejahatan, pasti Ia akan dibalas dengan balasan seksa dan api neraka berdasarkan firman Allah SWT dalam surah Ghafir (Al-Mukmin) ayat 19 :


“Dia (Allah Taala) mengetahui (pandangan) mata yang khianat (pandangan yang terlarang seperti melihat wanita yang bukan muhrim) iatu mata itu mencuri memandang kepada yang haram dan terlarang. Dia mengetahui apa-apa yang disembunyikan oleh hati yang bercita-cita sama ada untuk melakukan kejahatan mahupun kebaikan”.



Nabi SAW juga ada bersabda :

“Sesungguhnya memandang ke tempat yang elok (yang mengghairahkan) daripada tubuh badan perempuan itu umpama anak panah yang beracun daripada segala anak panah iblis (yang amat cepat merosakbinasakan seseorang).

Maka sesiapa yang meninggalkannya kerana berasa takut kepada Allah Subhanallahu Taala, nescaya Allah Subhanallahu Taala mengurniakannya rasa kesedapan amal ibadat yang menggembirakannya (yang menyukakan hatinya)”.

Hadis di atas diriwayatkan oleh Al-Hakim daripada Hudzaifah RA dengan menghukumkan sanadnya itu adalah sohih.


Sabda Nabi SAW :

“Bagi setiap anak Adam (manusia) itu ada bahagianya daripada zina. Maka kedua-dua mata itu berzina dan berzina kedua-duanya. Memandang ke arah yang tidak harus (haram) dipandang. Dan kedua-dua tangan itu berzina dan berzina kedua-duanya menampar (menerkam) pada bahagian yang terlarang.

Dan kedua-dua kaki itu berzina dan berzina kedua-duanya berjalan ke tempat yang haram. Mulut itu berzina dan zinanya mengucup yang tidak halal dikucup. Hati itu yang ada keinginan dan cita-cita dan membenarkan yang sedemikian itu oleh kemaluan (faraj) untuk melakukan perbuatan zina atau mendustakannya (tercegah daripada keinginan untuk melakukannya”.)

Hadis tersebut diriwayatkan oleh Muslim dan Al-Baihaqi daripada Abi Hurairah RA. Hadis tersebut membuktikan bahawa punca berlakunya zina itu adalah daripada pandangan kedua-dua mata.


Pesanan Untuk Si Pemilik Mata

Melihat mata yang melihat.

Haruslah kita sentiasa melihat dan memerhatikan apa dilihat oleh mata. Sentiasalah mengawasi mata dengan memeliharanya dengan bersungguh-sungguh apa yang anda nanti-nantikan. Jika berlaku sesuatu perkara yang amat serius, jagalah mata itu dengan pengawasan yang rapi dan bersungguh-sungguh.

Mata itu adalah amanah Allah yang akan dipersoalkan kelak. Jangan terkejut apabila mata kita bercakap kelak. 

JANGAN PERTIKAIKAN POLIS

SHAH ALAM – Tindakan polis melepaskan tembakan kepada dua suspek dalam kejadian amuk di Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Putrajaya, Isnin lalu tidak wajar dipertikaikan.

Penganalisis Jenayah, Kamal Affendi Hashim berkata, tindakan polis itu bagi melindungi keselamatan orang awam di kawasan berkenaan, setelah rayuan dan perbincangan dengan pasangan terbabit tidak mendapat maklum balas positif.
 
Menurutnya, berdasarkan Seksyen 9, Akta Larangan dan Kawasan Larangan 1959, semakan 1983, mana-mana orang yang cuba memasuki atau berada di kawasan larangan atau tempat larangan tidak berhenti setelah dicabar tiga kali oleh pegawai berkuasa boleh ditangkap dengan kekerasan.

Katanya, kekerasan itu perlu untuk melaksanakan penangkapan dan boleh berlanjutan sehingga menyebabkan kematian dengan sengaja.

“Situasinya, mangsa telah dipujuk namun enggan berundur mendesak polis untuk bertindak.

"Tembakan dilepaskan bukan terus mengenai kepala mangsa, tetapi di bahagian ari-ari dan tangan. Mangsa juga bukannya meninggal dunia serta merta di tempat kejadian tetapi di hospital,” katanya.

Kamal Affendi berkata, penggunaan pistol elektrik dalam keadaan tersebut juga boleh mengundang kecederaan parah serta kematian.

Dalam pada itu, beliau menyarankan, adalah lebih baik ahli keluarga pesakit mental bertindak awal mendapatkan rawatan pakar bagi mengatasi masalah yang dihadapi anggota keluarga

MAKAN PURBA DITEMUI

BEBERAPA ahli arkeologi menemui sembilan makam purba di wilayah Cusco, Peru baru-baru ini.

LIMA – Pakar-pakar arkeologi menemui sembilan makam purba di wilayah Cusco, kata pemerintah Peru seperti yang dilaporkan sebuah akhbar kelmarin.

Makam-makam itu berasal daripada Tamadun Wari yang telah lama wujud di Peru sebelum negara Amerika Selatan itu dijajah oleh Sepanyol pada tahun 1500.

Penemuan penting tersebut yang dibuat di banjaran Andes, selatan bandar ini, menunjukkan bangsa Wari terlebih dahulu memerintah rantau berkenaan sebelum empayar Inca berkembang pesat.

Tamadun Wari memiliki zaman kegemilangan di Andes di antara tahun 700 hingga 1200.

“Penemuan ini adalah penemuan terbaru yang paling penting iaitu sejak penemuan Machu Picchu,” kata seorang pegawai tempatan, Juan Garcia.

Machu Picchu merupakan kota peninggalan tamadun Inca di Peru yang ditemui pada 1911.

Kota bersejarah itu menerima kehadiran 500,000 pelawat pada setiap tahun.

“Bangsa Inca mungkin mendapat inspirasi daripada tamadun Wari dalam membangunkan sistem politik mereka,” kata Menteri Pelancongan Peru, Juan Ossio

Bangsa Inca membina empayar terbesar di rantau Amerika di antara tahun 1400 dan 1531.

KEADAAAN NURUL HUDA SEMAKIN STABIL


SHAH ALAM – Keadaan Nurul Huda Zanery, 12, yang sebelum ini sering batuk disebabkan menghidap penyakit tiroid semakin berkurangan, dia juga dijadualkan melakukan rawatan susulan pada 17 Julai ini di Hospital Selayang.

Ibu mereka, Adiana Othman, 44, berkata, anak keduanya Mohamad Amir, 11 sering mengadu lenguh di bahagian kaki, berpunca akibat penyakit saraf tunjang kongenital  yang dihadapinya.
Manakala, Fatihah yang menghidap penyakit kanser tulang leher masih menunggu tarikh rawatan susulan dari PPUKM bagi menjalani ujian imbasan magnetik resonan (MRI) pada kali kedua.

Adiana berkata, jumlah sumbangan yang diterima setakat ini bagi mengubati ketiga-tiga anak-anaknya sebanyak RM31,400.

“Hasrat saya adalah memberi rawatan yang terbaik untuk mereka akan tercapai,” katanya.

Sehubungan dengan itu, mana-mana pihak yang prihatin dengan nasib mereka dan berhasrat untuk menghulurkan bantuan sumbangan boleh disalurkan melalui akaun Maybank milik Adiana 162508103642 atau menghubunginya di talian 013-2934873