Pages

Labels

Powered by Blogger.

Friday, 13 July 2012

ISU SAHAM FELDA GLOBAL

ALOR SETAR - Badan Generasi Prihatin 3R 1Malaysia mendedahkan anak syarikat Kerajaan Negeri, Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK), memiliki 500,000 unit saham Felda Global Ventures Holding (FGVH) yang disenaraikan di Bursa Malaysia.

Bendaharinya, Mansor Ahmad, meminta Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak selaku Pengerusi PKNK tampil membuat penjelasan mengenai perkara itu.

“Kami cabar Azizan perjelas secara terperinci perkara ini, sama ada ia dibolehkan atau di luar pengetahuannya. Difahamkan, pegawai kanan Kerajaan Negeri antara mereka yang memiliki saham itu,” katanya.

Menurutnya, pendedahan maklumat itu diperoleh daripada sumber yang boleh dipercayai dan bukannya tuduhan palsu.

Mansor kesal kerana pemimpin Pakatan Rakyat (PR) khususnya Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) yang dipimpin oleh AJK Pas Pusat, Mazlan Aliman sering mempertikai penyenaraian FGVH, dan pada masa sama pemimpin PR lain mengaut keuntungan daripada saham itu.

“Mereka suruh warga Felda menentang tindakan Kerajaan Pusat termasuk penyenaraian ke Bursa Malaysia. Sebaliknya pada masa sama, mereka kaut untung melalui pemilikan saham itu. Ini tidak beretika dan tidak sepatutnya berlaku,” katanya.

Menurutnya, difahamkan, PKNK sudah menjual sekitar 50,000 unit saham dua hari lalu manakala seorang individu didakwa turut memiliki 50,000 unit saham itu.

“Saya percaya pegawai peringkat negeri terlibat dalam penyelewengan ini. Azizan perlu bertanggungjawab selaku pengerusi dan perlu ambil tahu semua aspek termasuk pengurusan, kewangan dan operasi secara telus,” katanya.

Mansor yang bersaudara dengan peneroka Felda Bukit Tangga menegaskan, pihaknya mendedahkan perkara ini kerana tidak mahu ada peneroka terpedaya dan hilang hak mereka akibat pemilikan saham terbabit.

"Kami juga mahu membela kebajikan peneroka di Kedah," katanya.

0 comments:

Post a Comment